PUTRAJAYA 16 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan meneruskan strategi bagi mengekang sebarang bentuk ketirisan dengan tumpuan siasatan agihan dana awam, projek sakit dan terbengkalai, permit pekerja asing, perjudian, pemerdagangan manusia serta kartel.
Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki berkata, SPRM sudah merangka tiga strategi utama di bawah sektor operasi dan pencegahan agensi itu tahun ini iaitu membabitkan perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang dan rasuah berskala besar atau grand corruption.
Tegasnya, rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh dibiarkan berleluasa dan tugas SPRM adalah untuk menghapuskannya, menjadikan negara ini bebas rasuah.
Justeru beliau menggesa warga SPRM melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri bagi membanteras penjenayah ini di samping mempunyai semangat berpasukan dalam kumpulan (esprit de corp) serta semangat kebersamaan.
Katanya, ini berpandukan Pelan Strategik SPRM 2021-2025 yang bersifat holistik dalam memacu negara ke arah bebas rasuah melalui pemerkasaan penguatkuasaan yang berkesan, pencegahan rasuah menyeluruh dan pembudayaan integriti bagi memastikan SPRM kekal relevan dan efektif pada masa kini dan akan datang.
Azam berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 dan Perhimpunan Bulanan SPRM semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Norazlan Mohd Razali; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Indera Junipah Wandi serta Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
Menurut Azam, SPRM akan kekal menggunakan strategi ‘serampang tiga mata’ dalam melaksanakan tanggungjawabnya, iaitu melalui pendekatan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan masyarakat selaras Seksyen 7 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
SPRM juga katanya akan menumpukan kes-kes yang menyebabkan berlaku ketirisan, kerugian kepada kerajaan dan rakyat, yang dilihat menjejaskan dasar kerajaan dalam melaksanakan agihan dana awam atau peruntukan khas kepada kumpulan sasar, kelompok atau kaum tertentu.
Contoh dana awam dan peruntukan khas itu seperti dana Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Skim Keselamatan Sosial Pekerja bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Skim Bantuan Subsidi Baja, Skim Pinjaman TEKUN Nasional dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Fokus kepada perolehan hasil negara, katanya, berkait kutipan hasil kerajaan dan pengelakan cukai seperti cukai eksais, cukai perkhidmatan dan cukai jualan, cukai perniagaan serta duti import eksport, yang menyebabkan ketirisan serta kerugian kepada negara.
“Hasil itu sepatutnya diterima kerajaan untuk digunakan bagi pembangunan negara,” katanya.
Dalam sektor perolehan awam, beliau berkata, tumpuan SPRM untuk membanteras rasuah dan ketirisan dalam sistem perolehan kerajaan dan memastikan proses itu dilaksanakan mengikut undang-undang serta peraturan.
“Bagi sektor penguatkuasaan pula, tumpuan SPRM kepada pembongkaran kes bersifat sindiket yang memberi kesan kepada sosioekonomi negara dan rakyat.
“Selain itu, jenayah penipuan seperti Macau scam, judi dalam talian serta jenayah rasuah yang membabitkan anggota penguat kuasa menjaga pintu sempadan atau pintu masuk negara,” katanya.
Katanya, semua perancangan dan tindakan operasi siasatan perlu diperkemas dan diselarikan dengan perancangan serta tindakan di sektor pencegahan melalui penyiasatan tatakelola dan pendidikan masyarakat berimpak tinggi agar tindakan menjadi lebih berkesan dan menyeluruh.
Nnnn
