3 lori kutip 1.4 tan barang lusuh di rumah teres 2 tingkat

TANJONG 16 Jan. – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggunakan tiga buah lori untuk mengutip 1.4 tan barang lusuh yang disimpan di sebuah rumah dua tingkat di sini  kerana menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitarnya.

MBPP menerusi kenyataan melalui Facebooknya semalam berkata, operasi berkenaan dilakukan secara bersepadu bersama Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan PDRM.

Berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 82, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan kepada pemilik premis pada 29 Disember 2023.

Bagaimanapun pemilik premis dengan sengaja tidak mengambil sebarang tindakan pembersihan dan masih membiarkan premis beliau dalam keadaan yang meloyakan.

Menurut MBPP, pemeriksaan bekas berpotensi pembiakan nyamuk turut menemukan ‘massive breeding’ atau pembiakan jentik-jentik yang banyak di dalam baldi.

“Tindakan penguatkuasaan sewajarnya sedang dipertimbangkan kerana pemilik tidak mematuhi Notis Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 sebanyak dua kali menyebabkan premisnya menjadi tempat pembiakan jentik-jentik yang boleh membawa kepada penyebaran wabak denggi,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment