Dakwa atau tidak budi bicara Pendakwa Raya

PUTRAJAYA 15 Jan. – Budi bicara untuk mendakwa dan tidak meneruskan prosiding adalah bawah bidang kuasa Pendakwa Raya, kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Katanya, apabila Pendakwa Raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan terhad.

“Bergantung pada fakta, dua pilihan itu ialah membenarkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan (DNAA).

Mahkamah tidak boleh berpaling daripada dua pilihan itu dan menggesa Pendakwa Raya mengekalkan pertuduhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024, di sini, hari ini.

Beliau menarik perhatian bagaimana Badan Kehakiman sering dipersalahkan oleh orang ramai setiap kali individu berprofil tinggi dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah.

Tengku Maimun berkata, Badan Kehakiman dan Pendakwa Raya mempunyai fungsi serta tugas masing-masing yang digariskan oleh Perlembagaan.

Kedua-dua institusi ini perlu ‘dihakimi’ dengan adil dalam menjalankan tugas masing-masing tanpa mencampuradukkan kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa hakim tidak boleh menjawab atau ditadbir mengikut kehendak politik mahupun populariti.

Sebaliknya, seorang hakim harus menjadi penimbang tara yang bebas antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, hakim tidak perlu menjawab pendapat umum, populariti atau sentimen kerana mereka dilantik dan tidak dipilih.

“Hakim mempunyai kebebasan untuk membuat keputusan semata-mata berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa perlu takut kepada kesan politik atau sosial,” katanya.

(Foto fb PDRM)

Related posts

Leave a Comment