ANKARA: Turkiye percaya Israel akan disabitkan kesalahan berhubung kes yang dibawa oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam Palestin.
Presiden Tayyip Erdogan berkata, Turkiye percaya pada keadilan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Bercakap kepada pemberita di Istanbul, Erdogan berkata, Turkiye akan terus menyediakan dokumen, kebanyakannya visual, mengenai serangan Israel ke atas Gaza untuk kes yang dibawa oleh Afrika Selatan itu
“Saya percaya Israel akan disabitkan kesalahan di sana. Kami percaya pada keadilan Mahkamah Keadilan Antarabangsa”, kata Erdogan.
Sementara itu, di THE HAGUE rejim Zionis cuba mempertahankan tindakannya menyerang Gaza di ICJ di Belanda, atas alasan mempertahan diri dan menyerang balas selepas diserang pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.
Pasukan pembelaan Israel, yang diketuai penasihat kepada Kementerian Luar Israel, Tal Becker, mendakwa kes yang dibawa Afrika Selatan, kononnya Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid, adalah tidak berasas sama sekali.
Pasukan pembelaan Israel berkata, mahkamah perlu membuktikan bahawa rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu itu sememangnya mempunyai ‘niat untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai’, bagi memenuhi kriteria di bawah Konvensyen Genosid 1948, seperti yang terjadi dalam peristiwa Holocaust.
Selain itu, mereka mendakwa tiada prima facie terhadap dakwaan Afrika Selatan, kerana negara itu tidak mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan pertelingkahan atau perselisihan faham dengan Israel.
Tembeka Ngcukaitobi, seorang peguam untuk Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, memberitahu ICJ, “niat pembunuhan beramai-ramai” Israel adalah jelas daripada “cara serangan tentera ini dijalankan.”
Niat untuk memusnahkan Gaza telah dipupuk di peringkat tertinggi negara. Setiap hari kita melihat peningkatan jumlah nyawa rakyat Palestin yang hilang, kemusnahan harta benda, kehilangan maruah dan kemanusiaan.
“Tiada apa-apa yang akan menghentikan segala penderitaan yang dilalui rakyat Palestin, kecuali perintah daripada mahkamah ini,” kata Adila Hassim, peguam yang juga mewakili Afrika Selatan kepada mahkamah.
Dalam hujah yang dikemukakan sebelum perbicaraan, Afrika Selatan berkata, tindakan Israel itu “bertujuan untuk membawa kemusnahan sebahagian besar kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin”.
Ketika ini, lebih 23,000 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan bertali arus oleh Israel, dengan sebahagian besarnya membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Perbicaraan berlangsung di hadapan 15 hakim yang datang dari pelbagai negara, diketuai Presiden ICJ, Joan Donoghue, di samping dua lagi hakim masing-masing dari Afrika Selatan dan Israel, iaitu Dikgang Moseneke dan Aharon Barak.
