Hospital Al-Shifa mula perkhidmatan

GENEVA: Hospital Al-Shifa,  kemudahan perubatan terbesar di Gaza, yang terjejas teruk akibat perang Israel-Palestin, kini memulakan semula beberapa perkhidmatannya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam catatan di X berkata sebahagian perkhidmatan hospital itu berjaya dipulihkan semula.

Agensi kesihatan PBB dan rakan kongsinya melawat hospital Al-Shifa di utara Semenanjung Gaza pada Khamis, bagi menghantar bahan api dan bekalan perubatan yang sangat diperlukan.

Tedros berkata, hospital itu, yang disifatkan WHO sebagai ‘zon kematian’ selepas sebahagian besar perkhidmatannya dihentikan susulan serbuan dan pendudukan tentera Israel pada November, kini mempunyai 60 kakitangan perubatan.

Katanya, ia juga mempunyai wad pembedahan dan perubatan dengan 40 katil, sebuah jabatan kecemasan, empat dewan bedah, perkhidmatan obstetrik dan ginekologi asas.

Terdapat unit hemodialisis terhad, perkhidmatan makmal minimum (dan) perkhidmatan radiologi asas.

Menurut Tedros, konvoi yang diketuai WHO ke hospital,, berjaya menghantar sebanyak 9,300 liter bahan api dan bekalan perubatan untuk menampung 1,000 mangsa peperangan dan 100 pesakit dialisis buah pinggang.

Walaupun sebahagian perkhidmatan di Al-Shifa beroperasi semula, namun Tedros berkata,  penggunaan bahan api adalah jauh lebih tinggi, dan keperluan untuk bekalan perubatan juga semakin meningkat.

Selama lebih dua minggu, WHO berusaha untuk sampai ke Al-Shifa dan hospital lain di utara Gaza, sebelum terpaksa membatalkan enam misi yang dirancang di sana kerana aspek keselamatan.

Walaupun hospital dilindungi mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun ia beberapa kali diserang Israel sejak perang meletus.

Tentera Israel menuduh Hamas mempunyai terowong di bawah hospital dan menggunakan kemudahan perubatan itu sebagai pusat arahan, namun ia dinafikan pejuang Islam itu.

(foto fb Tedros)

Related posts

Leave a Comment