Siapa mulakan Langkah Dubai, siapa gelabah, siapa lapor polis?

KUALA LUMPUR 12 Jan. –  Cerita Langkah Dubai. Siapa yang mulakan? Siapa yang menggelabah? Siapa yang terpaksa buat laporan polis? Siapa yang menjawab bahawa pembangkang tidak ada cukup sokongan? Siapa pula yang minta pembangkang bawa dalam Parlimen?

Itu persoalan yang dilontarkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin susulan cerita tersebut terus berada dalam media sosial.

“Yang menghairankan, pembangkang sendiri tidak tahu menahu tentang Langkah Dubai. Fitnah yang direka dan dimainkan oleh pihak tertentu ini, tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Cerita Langkah Dubai bermula pada 30 Disember lalu, apabila Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM),  Ismail Yusop, dilaporkan mendakwa Langkah Dubai timbul ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau dilaporkan mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hamzah yang juga Setiausaha PN dan Bersatu, mengingatkan bahawa kenyataan politik semata-mata tidak boleh menyelesaikan masalah rakyat dan tuduh-menuduh bukan jalan penyelesaian.

“Berdendam sesama rakan atau saudara juga bukan penyelesaian. Terimalah hakikat bahawa kerajaan juga mempunyai banyak kelemahan dan kepincangan. Ketidakcekapan dalam mengurus ini harus diatasi segera.

Ekonomi yang baik boleh membantu. Mencari dan mencipta kekayaan baru negara juga boleh membantu,” katanya.

Katanya, semalam, ketika makan tengah hari  di Ibu Kota Kuala Lumpur, ramai yang mengadu kehidupan mereka bertambah susah, bukan saja harga barang naik, caj perkhidmatan dan utiliti juga meningkat.

Beliau juga menarik perhatian kenyataan PMX mengenai dana berjuta-juta untuk dijadikan sumbangan.

“Mengapa dicampur-adukkan dengan pertemuan menghadap DYMM YDPA? Rakyat merasakan ada sesuatu yang janggal.

“Polis pula tiba-tiba mengeluarkan kenyataan politik. Masa bila PDRM menjadi politikal? Sepatutnya polis siasat mereka yg membuat laporan polis. PDRM harus lebih professional,” katanya.

Beliau juga mengingatkan polis supaya jangan terlampau mudah mengikut telunjuk mereka yang berjawatan, sama ada Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Politik.

“Berita orang membunuh diri sudah banyak dalam negara. Siasat kenapa. Penceraian meningkat, siasat kenapa. Kes kebankrapan juga meningkat. Siasat. Apakah ‘depression’, sakit mental dan ‘stress’ sudah sampai ketahap yang kritikal.

Apa solusi kepada semua masalah ini? Kenyataan politik semata- mata tidak boleh selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Menurut Hamzah, kuasa yang ada hendaklah digunakan untuk menyelesaikan kelembapan ekonomi, bukan menakut-nakutkan pelabur, sama ada pelabur tempatan mahu pun pelabur luar negara.

“Yakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu mengurus masalah ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Yakinkan kepada semua bahawa kerajaan sedang berusaha untuk semua, tak kira bangsa atau agama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, mahu kerajaan menunjukkan keadilan kepada semua dan amalan demokrasi diteruskan dan undang-undang tidak disalah tafsirkan.

“Jangan menakut-nakutkan semua pihak dalam negara. Jangan cakap lain buat lain. Jangan sampai rakyat meluat dengan segala janji-janji yang dicanangkan.

“Pembangkang, rakan, penyokong dan sesiapa saja boleh menjadi sahabat, boleh juga menjadi musuh pada bila-bila masa. Bina negara ini dengan keikhlasan, keadilan dan kesungguhan. Insya Allah Malaysia akan berjaya. Demi agama bangsa dan negara,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment