Kuat kuasa akta kawalan produk merokok tahun ini

KUALA LUMPUR 2 Jun –  Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) akan dikuatkuasakan mulai tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya,  Rang Undang-Undang (RUU) antimerokok yang diluluskan di Dewan Negara pada Disember lalu itu sudah pun diwartakan Februari lalu dan akan dikuatkuasakan sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan (akta) diwartakan.

Beliau berkata demikian ditemui media selepas Karnival World No Tobacco Day (WNTD SEGARUN) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, usaha melawan tabiat merokok memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dengan penyertaan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru, peruncit, ahli politik, badan penguatkuasaan serta rakyat.

“Kita mesti bersatu padu dalam membendung budaya merokok dan vape. Justeru bagi yang tidak merokok, jangan mulakan. Bagi yang merokok pula, dapatkan perkhidmatan di fasiliti KKM dan sebagainya bagi menghentikan tabiat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, akta itu akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur.

Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 26 notis dikeluarkan kepada individu tahun lalu kerana menjual produk berkenaan kepada kanak-kanak, manakala dua notis sama dikeluarkan tahun ini.

Beliau berkata, antara faktor penarik untuk kanak-kanak dan remaja mula menghisap vape adalah peranti menarik dan promosi berleluasa tanpa kawalan di media sosial berikutan penguatkuasaan akta baharu ini belum lagi bermula.

Akta itu antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta menyediakan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak di bawah umur.

Mengenai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Dr Dzulkefly berkata, temanya iaitu ‘Lindungi Kanak-kanak daripada Pengaruh Industri Tembakau’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko merokok dan pengaruh industri tembakau terhadap kanak-kanak dan remaja.

Beliau berkata, ia selaras dengan Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO-FCTC).

Katanya, Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 baru-baru ini mendapati peratusan merokok dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun menurun daripada 13.8 peratus pada 2017 hingga 6.2 peratus pada 2022.

Bagaimanapun penggunaan rokok elektronik atau vape meningkat 9.8 peratus (2017) kepada 14.9 peratus (2022).

“Kementerian Kesihatan akan menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi membendung dan mencegah pendedahan vape ke atas kanak-kanak termasuk penjualan produk berkenaan (kepada golongan itu),” katanya.

Mnnn 

Related posts

Leave a Comment