ISKANDAR PUTERI 11 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dan kerajaan juga tidak menyasarkan mana-mana bekas pemimpin, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, siasatan berkaitan rasuah dilakukan SPRM tanpa mengira status dan kedudukan, baharu atau lama.
Beliau berkata, mereka yang disiasat tidak perlu bimbang jika tidak bersalah manakala siasatan akan dibuat dengan teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya terdapat bukti yang kukuh.
“Namun janganlah sesetengah orang menganggap (tindakan SPRM) sasar orang tertentu dan sebagainya kerana ia akan beri gambaran seolah-olah ada orang atau jerung-jerung besar terlepas.
“Saya tidak mahu (dianggap) memerangi rasuah dengan menekan (bekas pemimpin) di bawah,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama petugas dan kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hari ini.
Anwar mengulas sama ada terdapat nama-nama besar atau ‘jerung’ yang bakal disiasat atas kesalahan rasuah selepas ini.
Pada 4 Januari lalu, SPRM dilaporkan memanggil empat individu bagi membantu siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin.
Semalam, isteri Daim dilaporkan mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.
Naimah Khalid dilaporkan mendakwa disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.
Semalam pula, SPRM dilaporkan mengesahkan telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung dana RM700 juta bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Selain Ahli Parlimen Bera dan Naimah, turut dipanggil dua anak Daim iaitu Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan mereka.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, keterangan ketiga-tiga ahli keluarga tokoh konglomerat ini diambil bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada majlis itu berkata, beliau tidak peduli pada cemuhan segelintir pihak di sebalik tindakan agresif pentadbirannya memerangi rasuah.
“Biarlah orang nak cemuh, jika nak selamatkan negara kena bersihkannya supaya jangan ada lagi pemimpin yang curi duit dan harta negara lagi.
“Amalan yang nak bunuh kedudukan, menyalahgunakan pangkat dan ambil kesempatan menerima sogokan perkayakan diri adalah amalan yang sebabkan Malaysia kecundang dalam banyak hal dan perlu dihentikan.
“Maksud saya ini termasuk jika ada kedudukan dengan gunakannya nak perkayakan anak isteri. Walau saya tahu ada yang tak senang (tindakan perangi rasuah) namun ia perlu dilakukan bagi selamatkan negara. Negara harus bersih dari rasuah,” katanya.
Nnnn
