DAMSYIK – Sebuah kubur besar yang mampu memuatkan ribuan mayat ditemukan di al-Qutayfah kira-kira 40 kilometer (km) di di luar ibu kota Syria.
Kubur itu adalah antara antara beberapa kubur besar yang dikenal pasti di seluruh negara selepas penggulingan pemerintahan beberapa dekad keluarga al-Assad.
Sebanyak 12 kubur besar turut ditemui di selatan Syria dan di satu kawasan, sekurang-kurangnya 22 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak ditemui dengan kesan penyeksaan dan tanda hukuman mati.
Al-Assad yang mengambil alih pemerintahan daripada bapanya, Hafez sebagai presiden yang meninggal dunia pada 2000, didakwa membunuh ratusan ribu orang melalui pembunuhan di luar undang-undang, termasuk dalam sistem penjara kuku besi yang terkenal di negara itu.
Minggu lalu, Badan Pemantau Hak Manusia atau Human Rights Watch mengunjungi kawasan kejiranan selatan Damsyik Tadamon, di mana mereka menemui kubur dipenuhi mayat yang menunjukkan tanda konsisten hukuman mati.
Pertubuhan yang berpangkalan di New York itu menggesa pihak berkuasa peralihan Syria untuk mengekalkan bukti fizikal di seluruh negara.
Ketua komander pentadbiran baharu, Ahmed al-Sharaa, memberitahu Al Jazeera, mereka yang melakukan jenayah terhadap rakyat Syria atau yang aktif membantu al-Assad melakukan jenayah itu akan dibawa ke muka pengadilan.
“Kami tidak akan menyerah kalah untuk menegakkan keadilan yang diharapkan rakyat dan kami tidak akan membiarkan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Syria dilupakan,” kata al-Sharaa atau dikenali sebagai Abu Mohammed al-Julani.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul bukti dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan institusi antarabangsa lain membantu mendokumentasikan jenayah yang dilakukan rejim.
