Orang ramai diminta bertenang

PUTRAJAYA 10 Jan. – Orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak membuat sebarang andaian atau kesimpulan berhubung kebakaran tiga kereta milik Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham selepas diserang dengan molotov cocktail awal pagi tadi.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata orang ramai perlu memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek serta punca kejadian dan mengelak daripada mengganggu siasatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan pasukan forensik polis dan bomba juga menemui ‘molotov koktail’ dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan tindakan melulu tanpa mempertimbangkan lunas-lunas undang- undang kerana ia adalah satu kesalahan serius yang boleh membawa kepada hukuman berat,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali.

Saifuddin berkata, polis sudah memulakan siasatan dan pada masa sama mengulangi agar tiada pihak yang mengambil tindakan melampaui undang-undang.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri mengutuk serangan itu yang jelas melanggar undang-undang dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa.

“Jemaah Menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah membakar kediaman Ahli Parlimen Beruas yang berlaku awal pagi tadi serta mengucapkan penghargaan kepada bomba yang memadam kebakaran itu dengan segera,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Jemaah Menteri mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang, termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.

“Jangan sesekali cuba membuat sebarang cubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat untuk melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment