GRS kekal sokong Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU 10 Jan. –  Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi pendirian menyokong penuh kepemimpinan Anwar Ibrahim dan tidak akan terbabit dalam sebarang cubaan bagi mengambil alih Kerajaan Perpaduan di persekutuan.

Pengerusinya, Hajiji Noor, berkata GRS memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, bagi memimpin Malaysia yang berbilang kaum ke arah kemakmuran.

Justeru Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, cubaan mengambil alih kerajaan hanya menjerumuskan negara ke arah kekacauan dan menyebabkan keadaan yang tidak stabil.

“Kita sudah ada sebuah Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dengan baik dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri kita, jadi kenapa kita mahu menggoyangkan bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan motif dan niat mereka yang melakukan ‘Langkah Dubai’, yang dilihat untuk memenuhi agenda politik sendiri semata-mata tanpa mempedulikan kebajikan rakyat.

“Kita bekerja untuk kemakmuran negara dan rakyat, kita tidak menyokong sebarang gerakan yang akan menyebabkan negara tidak stabil.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, jadi siapa yang mahu menjadi Perdana Menteri sepatutnya tunggu saja Pilihan Raya Umum (PRU) untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment