Langkah Dubai: Chegubard, Papagomo mungkin dipanggil

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin memanggil beberapa individu dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berkaitan ‘Langkah Dubai’, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Mereka adalah Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan aktivis yang juga bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dan blogger Salim Iskandar.

Razarudin berkata setakat semalam, polis menerima 43 laporan polis di seluruh negara berhubung klip video mengenai “aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka berdasarkan laporan tersebut, dan suspek utama adalah aktivis politik Raja Petra Kamarudin.

“Suspek ialah Raja Petra yang berada di luar negara. Dia bercakap mengenai kejatuhan kerajaan selama lebih 10 hari.

“Mungkin kita tidak dapat Raja Petra kerana dia berada di Manchester tetapi kita mungkin memanggil Papagomo (Wan Azri), Chegubard, dan (blogger) Salim Iskandar. Ini kerana dia bercakap dalam TikTok live. Ini kita nak tahu,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, mendakwa wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Terbaru, beliau yang juga ketua pengarah pilihan raya PN mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.

Semalam polis menerima lapan laporan daripada wakil parti politik berhubung gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Razarudin berkata siasatan dibuka di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Razarudin berkata, laporan polis itu berdasarkan penularan rakaman video tiga hingga empat orang berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Related posts

Leave a Comment