125 terbunuh akibat pengeboman Israel

GAZA: Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas melaporkan, 125 terbunuh akibat pengeboman Israel dalam tempoh 24 jam lalu, ketika lebih banyak serangan dilancarkan Israel di dalam dan sekitar Bandar Gaza.

Semenanjung Gaza kini menjadi sebuah zon pertempuran yang sebahagian besarnya musnah, dengan Khan Younis, bandar terbesar di selatan wilayah itu, antara yang paling teruk terjejas.

Tentera berkata, mereka membunuh pejuang Hamas di kawasan Khan Younis, menyerang ‘infrastruktur perang’ dan pejuang yang cuba ‘meletakkan alat letupan berhampiran tentera’.

Kebakaran besar tercetus susulan bedilan peluru berpandu regim Zionis di kawasan Deir al-Balah di tengah Gaza dan kem pelarian Al-Maghazi.

Setakat ini, perang Israel-Palestin yang mahu memasuki bulan ketiga, tidak menunjukkan tanda akan reda, sebaliknya makin merebak di Asia Barat dengan membabitkan Iran Lubnan, Yaman dan Syria.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken kembali ke Asia Barat untuk lawatan keempatnya di rantau itu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober lalu mencetuskan perang paling berdarah di Gaza.

Blinken akan mengadakan rundingan sukar dengan pemimpin Israel mengenai ‘langkah segera untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza’.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby, menegaskan walaupun Israel boleh mencapai matlamat ketenteraannya, hasratnya untuk menghapuskan Hamas sama sekali masih diragui dapat dicapai.

Peperangan Israel terhadap Hamas kini merebak menjadi konflik serantau yang lebih besar selepas serangan di Lubnan, yang diandaikan secara meluas dilakukan Israel, mengakibatkan pembunuhan pemimpin Hamas, Saleh al-Aruri.

Related posts

Leave a Comment