KUCHING 1 Jan. – Sempena sambutan Tahun Baharu 2024 dan Perasmian Tiang Bendera Sarawak,di sini malam tadi, Premier Sarawak
Abang Johari Tun Openg mengumumkan bendera negeri Sarawak kini dikenali sebagai ‘Ibu Pertiwi’.
Beliau turut mengumumkan nama kawasan kompleks dataran bagi lokasi tiang bendera tersebut sebagai ‘Dataran Ibu Pertiwi’, manakala tiang bendera dikenali sebagai tiang ‘Ibu Pertiwi’.
“Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning,” katanya ketika berucap pada sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.
Abang Johari mengajak semua anak Sarawak untuk bertekad dan bekerja kuat bagi mempertahankan Ibu Pertiwi, bersama-sama membangunkan Ibu Pertiwi supaya lebih maju, sekali gus menjadi tempat yang sempurna untuk anak Sarawak.
Menurut beliau lagi, kos pembinaan tiang bendera serta kawasan kompleks Ibu Pertiwi dibiayai sepenuhnya oleh tiga syarikat minyak iaitu Petroleum Sarawak Berhad – PETROS, PETRONAS dan Shell Berhad.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga syarikat itu di atas sumbangan melalui Tanggungjwab Sosial Korporat (CSR) bagi kos pembiayaan projek berkenaan,” katanya.
Selain membiayai kos projek terbabit, ketiga-tiga syarikat minyak tersebut turut menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada anak Sarawak.
Projek pembinaan tiang yang menempatkan bendera Ibu Pertiwi sepanjang 25 meter panjang dan 12.5 meter lebar serta kawasan kompleks dataran itu menelan kos sebanyak RM30 juta.
Tiang bendera tertinggi di Malaysia iaitu 99.392 meter itu kini menjadi sebahagian daripada mercu tanda dan tarikan pelancong di Tebingan Kuching dan ia siap dibina pada 17 Jun lalu.
Untuk rekod, tiang bendera Jalur Gemilang di Dataran Merdeka adalah 95 meter.
