Pencalonan Imran Khan ditolak

KARACHI 31 Dis. – Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan menolak pencalonan bekas Perdana Menteri, Imran Khan untuk bertanding di dua kawasan pada Pilihan Raya Kebangsaan 2024 yang dijadualkan pada 8 Februari depan.

Beliau hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya kebangsaan selepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun Ogos lalu kerana menjual secara tidak sah hadiah milik kerajaan ketika memegang jawatan Perdana Menteri dari 2018 hingga 2022.

Bekas bintang kriket berusia 71 tahun itu terbabit dalam konflik politik dan undang-undang sejak digulingkan pada April 2022.

Beliau memfailkan kertas pencalonan pilihan raya pada Jumaat lalu, untuk bertanding termasuk di kampung halamannya, Mianwali.

Khan, yang dilihat secara meluas sebagai pemimpin paling popular di negara itu, berkata beliau menjadi sasaran tentera yang mahu menghalangnya daripada pemilihan. Bagaimanapun tentera menafikan perkara ini.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi enggan menggantung kehilangan kelayakan Khan daripada bertanding dalam pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga menolak kertas pencalonan yang dikemukakan oleh anggota kanan parti lain, termasuk Shah Mehmood Qureshi, naib pengerusi parti Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaaf (PTI).

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menerima pencalonan bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif bagi dua kawasan untuk pilihan raya 2024, beberapa minggu selepas mahkamah membatalkan dua sabitan rasuah.

Sharif bagaimanapun masih memerlukan larangan seumur hidup untuk memegang mana-mana jawatan awam untuk disingkirkan bagi melayakkan diri bertanding, jadi tidak jelas bagaimana pencalonannya diterima.

Sharif dilarang bertanding dalam pilihan raya pada 2017 oleh Mahkamah Agung, yang mengisytiharkan beliau tidak jujur kerana tidak mendedahkan pendapatan daripada syarikat milik anaknya.

Related posts

Leave a Comment