PUTRAJAYA 29 Dis. – Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook sedar cabaran terbesar Kerajaan Perpaduan adalah bagaimana mengurus perbezaan antara parti yang berlainan dan menyatupadukan seluruh tenaga ke arah matlamat yang sama.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, percanggahan pendapat dalam isu-isu tertentu akan timbul dari masa ke semasa dan ini merupakan lumrah dalam dunia politik dan sistem demokrasi.
“Kita perlu bertenang dalam menguruskan sebarang keadaan dan sentiasa berpegang kepada semangat permuafakatan,” katanya dalam mesej Tahun Baharu 2024 melalui Facebooknya malam ini.
Beliau berkata pemimpin utama DAP dan anggota Jemaah Menteri parti itu menyedari hakikat tersebut dan beliau bertekad untuk terus memainkan peranan konstruktif memperkukuh kerjasama dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
“Tekad tahun baru saya ialah untuk terus memainkan peranan yang konstruktif untuk memperkukuhkan kerjasama dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan serta menyumbang tenaga dalam penyampaian prestasi Kerajaan di kementerian saya.
“Bagi pihak DAP, saya ingin mengulangi komitmen kepada bahawa peranan dan tanggungjawab kami dalam kerajaan ialah menjamin kestabilan politik, memastikan keharmonian antara kaum dan membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga menegaskan Jemaah Menteri merupakan badan pembuat keputusan yang tertinggi dalam sistem pentadbiran negara.
“Semua dasar kerajaan dan keputusan penting hanya boleh diputuskan melalui perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri dan konsensus dicapai oleh semua parti yang membentuk kerajaan pada hari ini.
Tidak ada parti yang boleh mendominasi parti yang lain dalam apa jua keputusan,” katanya yang berpegang teguh kepada prinsip tanggungjawab bersama di samping mengulangi pendirian dan fokus Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu 2024 is all about economy! economy! economy.
Mengimbau perjalanan Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, setelah setahun berlalu, banyak cabaran telah ditempuhi oleh negara.
Katanya , banyak dasar dan hala tuju negara seperti kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian, Dasar Peralihan Tenaga dan sebagainya telah digubal dan diumumkan untuk pelaksanaan.
“Iklim pelaburan kembali rancak dan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi Malaysia kian meningkat. Dasar luar dan peranan Malaysia di pentas antarabangsa lebih terserlah dan makin diberi perhatian oleh kuasa besar.
Hubungan dua hala dengan negara-negara jiran di ASEAN dan Asia Timur diperkuatkan dan membantu pertumbuhan perdagangan yang lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata semua petunjuk ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.
“Proses pembinaan semula negara sedang berjalan lancar dan dengan iktizam yang tinggi, lebih banyak perancangan kerajaan dapat diterjemahkan dalam tindakan yang bersepadu dan pelaksanaan secara tuntas pada tahun 2024,” katanya.
Nnnn
