Video palsu PM Singapura promosi pelaburan

SINGAPURA 29 Dis. – Perdana Menteri,  Lee Hsien Loong, mengingatkan warga Singapura supaya berwaspada dan belajar melindungi diri daripada penipuan susulan tersebar video yang kononnya beliau mempromosikan produk pelaburan secara online.

Video palsu tersebut menggunakan teknologi ‘deepfake’ iaitu teknik merubah wajah seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

“Baru-baru ini, terdapat beberapa video audio ‘deepfake’ tentang saya yang dikatakan mempromosikan penipuan crypto. (Timbalan Perdana Menteri) Lawence Wong juga telah menjadi sasaran!

“Para penipu ini menggunakan teknologi AI (kecerdasan buatan) untuk meniru suara dan gambar kami. Mereka mengubah video asal kami yang diambil di acara-acara rasmi kepada video yang sangat meyakinkan tetapi benar-benar palsu tentang kami yang kononnya mengatakan perkara yang tidak pernah kami katakan,” katanya.

Dalam video yang diubah dan tersebar di dalam talian itu, Lee dilihat sedang ditemu bual oleh seorang penyampai daripada rangkaian berita China CGTN dan mereka membincangkan peluang pelaburan yang dikatakan telah diluluskan pemerintah.

Video itu yang dikatakan dimanipulasi daripada wawancara sebenar CGTN dengan Lee pada Mac berakhir dengan penyampai menggesa penonton mengklik pada pautan untuk mendaftar bagi platform itu demi memperoleh “pendapatan pasif”.

“Jika anda ternampak atau menerima video penipuan ini yang menjanjikan pulangan terjamin ke atas pelaburan atau ganjaran, jangan layan mereka!” katanya melalui media sosial.

Lee juga mengingatkan orang ramai agar melaporkan video palsu sedemikian melalui ScamShield Bot rasmi di WhatsApp di https://go.gov.sg/scamshield-bot.

“Penggunaan teknologi ‘deepfake’ untuk menyebarkan maklumat salah akan terus berkembang. Kita mesti sentiasa berwaspada dan belajar untuk melindungi diri kita dan orang yang kita sayangi daripada penipuan sedemikian,” kata  Lee.

Terdahulu, sebelum ini sebuah video memaparkan Wong seolah-olah mempromosikan sebuah pelaburan juga tersebar di media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Dalam video itu, pergerakan mulut Wong diubah dengan ketara untuk bergerak selari dengan suara palsu yang mempromosikan sebuah penipuan pelaburan di mana suara palsu itu meniru nada dan intonasi suara sebenar beliau.

Related posts

Leave a Comment