KUALA LUMPUR 29 Dis. – Pangkat bukan untuk bermegah-megah sebaliknya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini.
Ketika memberi peringatan itu kepada pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata, pangkat datang dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur.
“Walau sebesar mana pangkat kita, kita akan bersara juga, tiada yang kekal selama-lamanya. Yang datang akan pergi, yang naik akan turun dan yang hidup akan mati.
“Ia bukan untuk kita bermegah-megah. Ingatlah dosa pahala, dunia dan akhirat kerana semuanya akan dihitung sama ada di alam kubur atau Padang Mahsyar nanti.
“Jika baik amalan kita, akan dibalas baik dan jika sebaliknya, janganlah kita menyesal nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Zalena Mohd Ariffin.
Komisioner Polis (CP) Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad kini dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang baharu.
Beliau menggantikan Aidi Ismail yang akan bersara pada 1 Januari ini.
Atob Khan turut mengingatkan pegawai kanan mengenai kematian dan balasan yang akan diterima di alam kubur serta pembalasan di Padang Mahsyar jika amanah tidak digalas dengan rasa tanggungjawab.
Nnnn
