Kenapa Pua tidak kritik terowong dasar laut?

Kenapa Pua tidak kritik terowong dasar laut?

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menolak tanggapan Tony Pua bahawa Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura ‘tidak memberi manfaat’.

Beliau sebaliknya menempelak bekas Setiausaha Publisiti DAP itu yang mencadangkan kerajaan menyediakan penerbangan percuma kepada rakyat Malaysia ke Singapura, berbanding melaksanakan semula projek HSR itu.

Cadangan Pua itu menurut Puad hanya member manfaat kepada mereka yang ke Singapura dan sebaliknya sahaja sedangkan HSR yang tidak mengguna dana kerajaan memberi manfaat pada semua pengguna.

“Tony Pua gagal menilai HSR dari aspek limpahan. HSR adalah ‘game changer’ yang akan membangun kawasan sekitar stesen HSR nanti. Manfaat ekonomi amat besar.

“Kenapa Tony Pua tidak mengkritik projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Apakah ia prioriti? Pulau Pinang sudah ada dua jambatan.

Mujur Tony Pua tiada lagi jawatan dalam kerajaan. Dia makin tersisih dalam politik DAP. Dia ‘punahsihat’,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, Pua dalam satu kenyataan berkata, kerajaan mampu menyediakan penerbangan percuma berbanding melaksanakan semula projek mega yang dianggar membabitkan kos kira-kira RM80 bilion termasuk untuk pengambilan tanah, namun belum lagi dikira nilai faedah.

“Jadi (penerbangan) KL-Singapura Changi adalah laluan udara paling sibuk di dunia. Ia membabitkan 4.9 juta tempat duduk. Mengandaikan lebih kurang RM400 (nilai) bagi satu kerusi, ia akan membabitkan kurang RM2 bilion nilai tiket penerbangan setahun,” katanya.

Menurut Pua, semakan yang dibuat beliau menunjukkan jika kerajaan akan membiayai HSR, sebanyak kira-kira RM80 bilion diperlukan termasuk kos pengambilan tanah dan lain-lain tetapi belum termasuk nilai faedah.

Dalam hantaran di Facebooknya, Pua berkata, dengan kadar faedah lima peratus, kerajaan akan menanggung sejumlah RM4 bilion hanya dalam bentuk faedah setahun untuk projek HSR.

“Jadi jika hanya rakyat Malaysia yang mendapat (tiket) secara percuma, maka kita akan jimat lebih banyak…. malah boleh menawarkan lebih banyak penerbangan percuma,” katanya.

Pua juga menegaskan, apa pun pengiraannya, contoh yang diberikannya itu menggambarkan semak imbang terhadap realiti yang jelas mengapa HSR yang tidak sedikit pun memberi nilai kewangan kepada Malaysia.

Related posts

Leave a Comment