SEPANG 21 Dis. – Konvensyen Nasional Amanah hujung minggu ini akan menyaksikan 102 orang menawarkan diri untuk mengisi 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional 2023 – 2026 yang kemudiannya layak dipilih untuk lima jawatan utama parti.
Di samping itu dua orang calon menawarkan diri untuk jawatan Speaker, tujuh bagi jawatan timbalan speaker dan empat juruaudit.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dr Zulqarnain Lukman dalam satu kenyataan berkata, selepas tarikh tutup pengesahan pada 19 Disember lalu, 115 bersetuju menerima pencalonan, 38 menolak dan sembilan tidak memberi jawapan.
Kira-kira 1,100 perwakilan yang mewakili sayap nasional, negeri dan kawasan akan membuat pemilihan pada konvensyen yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Disember ini di Klang.
Berdasarkan sistem yang diamalkan oleh Amanah, tiada pertandingan satu lawan satu untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden atau tiga Naib Presiden seperti yang berlaku dalam parti lain.
Sebaliknya, seperti DAP, perwakilan akan memilih sejumlah ahli jawatankuasa (Amanah 27) dan daripada jumlah itu, mereka akan berunding tentang siapa yang sepatutnya dilantik menjadi presiden, timbalan dan naib-naib presiden.
Turut layak memilih adalah ketua-ketua sayap parti menjadikan 30 orang layak untuk diangkat ke jawatan utama parti.
Berdasarkan senarai yang bersetuju menerima pencalonan, hampir semua penyandang jawatan menawarkan diri termasuk pimpinan utama parti dan mereka yang berjawatan sama ada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden kosong berikutan kematian penyandang Salahuddin Ayub pada Julai lalu.
Jawatan Presiden disandang Mohamad Sabu, tiga Naib Presiden pula Hasanuddin Mohd Yunus, Mahfuz Omar dan Dr Mujahid Yusof manakala dua Naib Presiden lantikan Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.
Menteri Kesihatan yang juga Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefli Ahmad turut menawarkan diri.
Nnnn
(Foto: Hampir semua penyandang menawarkan diri bertanding)
