SEPANG 20 Dis. – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 menawarkan sebanyak 969 reruai atau ruang pameran, berbanding 823 reruai dalam penganjuran tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 11.7 peratus.
Jawatankuasa Pengelola PBAKL dalam satu kenyataan berkata, pemain industri perbukuan Malaysia setakat ini memberi sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap penawaran reruai PBAKL 2024.
“Kelebihan penempahan secara pukal disediakan kepada semua pemain yang bersedia, semenjak pengurusan PBAKL yang terdahulu. Faktor logistik susunan reruai antaranya memerlukan pihak pengurusan mengutamakan tempahan bilangan yang banyak dalam menyusun atur dewan,” kata kenyataan itu.
PBAKL kali ke-41 itu dijadualkan berlangsung pada 24 Mei hingga 2 Jun 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan baru-baru ini terdapat beberapa isu berkaitan tempahan reruai.
Susulan itu bagi memastikan suara semua terus didengari, Jawatankuasa Pengelola PBAKL akan mengadakan “Dialog ke arah PBAKL yang lebih baik” pada 29 Disember 2023 pukul 3 petang di MBKM, Blok 2251, Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya.
Menurut kenyataan itu, PBAKL 2024 dilihat akan terus berupaya menjadi jenama yang kuat dan mampu menarik jutaan pengunjung dalam masa 10 hari penganjuran.
Justeru, beberapa penambahbaikan mahupun pengekalan strategi dilaksanakan termasuk akan mengadakan regulasi lebih kemas, terutama berkaitan bilangan minimum, saiz, ketinggian dan pemilihan lokasi pada masa akan datang.
Regulasi ini akan disebarluaskan kepada pemain industri bagi memastikan kesamarataan peluang kepada semua.
Di samping itu, jawatankuasa akan menyusun semula susun atur Dewan Merdeka bagi PBAKL 2024 dan kesemua pemain industri yang masih belum mendapat reruai masih akan disantuni dan berpeluang membuat tempahan dalam masa terdekat;
Menurut kenyataan itu lagi, pihak jawatankuasa juga akan memastikan sebarang maklumat terkini berkaitan harga, saiz, tarikh pembelian awal dan sebagainya, terus dihebahkan melalui satu medium rasmi saja.
“Selain itu, memastikan kemapanan program ini pada masa hadapan, terutama menggunakan strategi promosi media cetak dan elektronik yang berkesan demi menarik khalayak yang ramai dan berkualiti, dengan mengekalkan bayaran penuh ketika tempahan.
“Jawatankuasa Pengelola PBAKL juga sedang meneliti potensi pendigitalan tempahan reruai yang bersifat lebih terbuka, telus dan mampu menyelesaikan isu-isu berbangkit tahun ini. Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk bagi tujuan ini. Pendigitalan tempahan reruai ini akan dirintis dan dijangka dapat diperkenalkan pada PBAKL 2025,” kata kenyataan itu.
Ruang dan peluang akan terus dibuka kepada semua pemain industri supaya dapat bersiap siaga pada tahap maksimum dalam masa lima bulan akan datang, bagi memastikan jualan memberangsangkan, di samping pemain industri memanfaatkan pengenalan produk perbukuan baharu dan berkualiti.
Nnnn
