Rashid Hussain Pengerusi TH

PUTRAJAYA 20 Dis. – Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Azman Mokhtar yang tamat tempoh jawatan .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata Abdul Rashid merupakan seorang ahli perniagaan dan berjaya mengasaskan Kumpulan Perbankan RHB antara yang terbesar di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Dr Mohd Naim berkata, Abdul Rashid juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dari 1994 hingga 1998.

Katanya, selain itu beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

“Abdul Rashid juga di antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) TH,” katanya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi TH dari 2014 hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

Mohd Naim berkata, Abdul Rashid juga Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan atas sumbangannya kepada negara dan masyarakat, beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

Menurutnya, pengalaman luas Abdul Rashid sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia, di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan.

Katanya, pada masa sama pihaknya ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman di atas segala jasa bakti serta perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya kepada semua warga TH.

Related posts

Leave a Comment