MCMC lindungi pengguna media sosial

PUTRAJAYA 15 Dis. – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan kandungan media sosial bukan untuk membataskan kepelbagaian pandangan, sebaliknya bagi melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian.

Menurut Komunikasi Korporat MCMC, statistik agensinya mendapati terdapat peningkatan sebanyak 24 kali ganda dalam kandungan memudaratkan di platform media sosial dan platform Over-The-Top (OTT) merangkumi Meta dan TikTok.

Kandungan memudaratkan di platform media sosial dan OTT menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 24 kali ganda daripada 1,019 pada 2022 kepada 25,642 pada tahun ini.

“Kandungan itu termasuk penipuan (scam), penjualan haram, perjudian, berita palsu dan ucapan berbaur kebencian yang menimbulkan ancaman kepada fabrik sosial dan institusi di negara ini.

Sebagai contoh, ucapan berbaur kebencian berpotensi mencetuskan keganasan, diskriminasi serta gangguan, sekali gus mencerminkan kepentingan untuk menguatkuasakan undang-undang dan kawal selia untuk penyederhanaan dan penurunan kandungan bagi melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan,” katanya menerusi kenyataan.

Penjelasan MCMC itu sebagai maklum balas kepada laporan media yang melaporkan pemilik Facebook iaitu Meta dan TikTok China menyekat sebilangan besar hantaran di akaun serta media sosial di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ia berlaku di tengah-tengah lonjakan permintaan kerajaan untuk menurunkan kandungan.

Menurut laporan itu, Meta menyatakan antara Julai 2022 dan Jun lalu, pihaknya menyekat akses kepada lebih 3,500 item sebagai respons kepada laporan pengawal selia komunikasi negara serta agensi kerajaan yang lain.

Sehubungan itu, MCMC menegaskan, semua pihak termasuk kerajaan, badan kawal selia dan platform OTT perlu saling bekerjasama menangani isu terbabit.

“Semua pihak perlu bekerjasama bagi menangani isu ini dan pada masa sama menegakkan kepelbagaian pandangan.

“Ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna di alam maya.

Dalam pada itu, MCMC turut memperincikan 1,019 kandungan memudaratkan pada 2022 itu dengan 422 daripadanya adalah kandungan bersifat jelik; penipuan dan penjualan haram (315); pornografi (186) dan berita palsu (96).

Namun statistik itu melonjak ketara pada tahun ini, iaitu sebanyak 25,642 kandungan memudaratkan dengan 18,140 daripadanya membabitkan penipuan dan penjualan haram; berita palsu (4,008); kandungan jelik (2,858), pornografi (599) dan mengancam (37).

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi mengatakan sedang mempertimbang langkah mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan MCMC bagi memastikan mereka memahami serta mematuhi aspek perundangan negara.

Bagaimanapun, pada November lalu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata MCMC tidak berperanan sebagai polis internet, sebaliknya memberikan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, pelaksanaan tindakan sekatan atau penurunan kandungan berdasarkan permohonan Polis Diraja Malaysia atau aduan lain.

Related posts

Leave a Comment