Gaza: Malaysia sokong resolusi UNGA

PUTRAJAYA 13 Dis. – Malaysia menyokong dan menaja bersama draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) semalam yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

Resolusi bertajuk ‘Protection of civilians and upholding legal and humanitarian obligations'”, itu diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang dan 23 berkecuali.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, sokongan padu terhadap resolusi itu oleh sekumpulan negara mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian adil, berkekalan dan damai terhadap konflik Palestin-Israel.

“Ini menjadi lebih mendesak memandangkan tragedi kemanusiaan yang mengerikan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel yang tidak henti-henti,” kata kenyataan itu.

ESS ke-10 disambung semula atas permintaan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat memveto resolusi yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza.

Malaysia bersama Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Namibia, Afrika Selatan, Thailand, Timor-Leste dan Turkiye menyokong permintaan bersama itu.

Wisma Putra memaklumkan adalah jelas bahawa Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan penerimaan resolusi itu mengesahkan semula peranan penting Perhimpunan Agung dalam perkara yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Majlis Keselamatan seharusnya memberi keutamaan kepada tuntutan majoriti berbanding kehendak segelintir pihak yang mementingkan diri,” kata kenyataan itu.

Resolusi itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi malapetaka kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera serta menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan, selain memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.

Resolusi sama turut menggesa semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya berkaitan perlindungan orang awam.

Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan satu-satunya penyelesaian yang berkekalan terhadap malapetaka yang menghancurkan itu adalah dengan memberikan rakyat Palestin negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Related posts

Leave a Comment