Impian Malaysia: Kit Siang jawab 27 soalan

PETALING JAYA 13 Dis. – Prosiding merekodkan keterangan Lim Kit Siang berhubung kenyataan Impian Malaysia berjalan lancar dengan veteran DAP itu menjawab keseluruhan 27 soalan yang dikemukakan pasukan siasatan.

Kit Siang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan diminta hadir memberi keterangan kepada polis hari ini susulan satu laporan polis berkait kenyataan kontroversinya.

Peguam, Khairil Khalid, berkata difahamkan laporan polis terhadap anak guamnya itu dibuat oleh seorang orang awam, namun tidak mendedahkan lokasi dan tarikh laporan berkenaan dibuat.

“Semua berjalan dengan lancar, prosedur biasa (rekod keterangan) memandangkan ada satu laporan polis berkenaan hantaran di Facebook dan blog oleh Tan Sri (Kit Siang). Siasatan belum dipastikan lagi mengikut akta apa, tetapi prosiding hari ini dibuat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP).

“Selepas selesai rekod keterangan dan jika polis kesan ada kesalahan, baharulah polis akan tentukan tindakan lanjut,” katanya selepas selesai proses rekod keterangan terhadap Kit Siang yang dijalankan tiga pegawai USJT di Balai Polis Sea Park, SS 2, di sini.

Kit Siang turut ditemani seorang lagi peguam, Athari Bahardin sepanjang proses rekod keterangan ke atas Kit Siang yang berlangsung kira-kira satu jam.

Veteran DAP itu ditemani dua anaknya, Guan Eng, Ahli Parlimen DAP Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan merangkap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Hui Ying, Ahli Parlimen DAP Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan, tiba di Balai Polis Sea Park pada pukul 9.34 pagi.

Turut sama beberapa pemimpin parti, antaranya Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran, bekas Menteri Sumber Manusia yang semalam dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.

Ketika menjelaskan kontroversi itu, Kit Siang berkata, ucapannya ketika itu sekadar menjelaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu layak menjadi perdana menteri tanpa mengira kaum.

“Walaupun bukan Melayu layak menjadi perdana menteri, saya katakan yang ia tak mungkin berlaku dalam tempoh 100 tahun. Namun, saya berharap ia tidak mengambil masa sehingga 230 tahun seperti Barrack Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat,” kata veteran DAP itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment