SHAH ALAM 30 Nov. – Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, menggesa semua perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan berlaku sebelum penggal tamat pada 2027.
Bekas Menteri Besar Selangor yang baru-baru ini dilantik sebagai Setiausaha Agung berkata, Bersatu bersedia untuk menghadapi PRU dan sebagai persediaan ke arah itu, akar umbi Bersatu akan terus diperkuatkan.
Azmin berkata, kepimpinan Bersatu akan terus menggiatkan usaha dan memberi komitmen tinggi untuk membantu setiap cawangan Bersatu di seluruh negara.
“Saya berikrar bahawa pentadbiran baru ini akan turun padang dan membantu akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian untuk mengukuhkan parti menerusi keahlian yang lebih ramai dan cawangan yang lebih banyak.
“Ini agar kita dapat bersedia menghadapi pilihan raya negeri ataupun pilihan raya umum, kerana pilihan raya umum tidak semestinya diadakan tiga tahun dari sekarang,” katanya ketika berucap pada PAT Bersatu di sini hari ini.
Menurut Azmin, Bersatu mencatatkan peningkatan keahlian dengan keanggotaan kini hampir 700,000 orang berbanding 600,667 ahli direkodkan pada PAT 2023. Jumlah tersebut termasuk ahli bersekutu seramai 30,000 orang.
“Ini membuktikan Bersatu akan mewakili semua rakyat di dalam negara ini. Kita adalah parti masa depan untuk Malaysia,” katanya.
Nnnn
