SEPANG 28 April- Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh kekal dengan prinsipnya untuk UMNO menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang bermaruah tetapi bukan menubuhkan kerajaan secara tebuk atap.
Justeru beliau menegaskan tindakan UMNO menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bukan untuk “menebuk atap dan gila jawatan,” tetapi kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Saya kekal dengan prinsip sejak dari dulu, untuk UMNO tarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan, jadi pembangkang bermaruah ataupun hadapi pilihan raya bukan menubuhkan kerajaan secara tebuk atap,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN boleh menyatakan sokongan kepada BN di Negeri Sembilan ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk parti-parti Melayu ini boleh duduk bersama.
“Duduk bersama bukan menebuk atap,tetapi saya mengajak untuk sama-sama kita bekerjasama dalam pilihan raya seperti mana pendirian saya dalam “keluar sekejap” sebelum ini untuk saya melihat kerjasama UMNO dan Pas itu berlaku.
Jika pentaksub, yang menguntungkan mereka semuanya halal, yang merugikan mereka semua haram itu bezanya dengan orang yang berprinsip. Maka rakyat perlukan pemimpin yang berprinsip bukan pentaksub,” katanya.
Akmal sebelum ini menyambut baik pendirian ADUN PN di Negeri Sembilan yang menyatakan sokongan kepada ADUN BN yang memperlihatkan parti-parti berteraskan Melayu dan boleh duduk bersama.
Bagaimanapun Exco Kerajaan Negeri Melaka itu menegaskan kerjasama itu bukan bermaksud menebuk atap untuk menubuhkan kerajaan tetapi untuk bersama-sama bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Dr Akmal menarik perhatian, apabila krisis pertukaran Menteri Besar (MB) Perlis, ramai pentaksub yang marah, malah ADUN Pas yang menyokong untuk menukarkan MB juga dipecat dari parti.
Katanya , ada juga yang minta agar pilihan raya negeri diadakan sebagai tanda protes tindakan menebuk atap yang dilakukan oleh ADUN-ADUN mereka di Perlis.
“Cacian dan makian atas tindakan tebuk atap itu jangan dikira, bergunung dimaki oleh penyokong mereka.Tetapi apabila krisis di Negeri Sembilan berlaku lain pula nadanya. Apabila saya menyatakan tidak bersetuju tindakan tebuk atap, maka berbondong makian diberikan kepada saya,” katanya,
Beliau menegaskan UMNO menarik sokongan dari Kerajaan Perpaduan bukan untuk menebuk atap dan gila jawatan, tetapi tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH
“Kita menghormati mandat rakyat,sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah, jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat bukan dengan cara tebuk atap,” tegasnya.
Nnnn
