SEPANG 11 Dis. – Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, menafikan dakwaan akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, seperti yang tular di aplikasi WhatsApp, hari ini.
Katanya, berita palsu itu disebarkan dengan menggunakan nama Harian Metro, menggambarkan seolah-olah beliau akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Justeru beliau menyifatkan, penyebaran berita palsu itu adalah berniat jahat dan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu untuk menggugat kesepaduan parti serta menjatuhkan imej ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.
Rosol menegaskan, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sedemikan kepada mana-mana pihak, terutama pihak media.
“Pendirian saya tetap teguh dan kekal taat setia bersama rakan pemimpin lain meneruskan perjuangan dalam PN,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Sejak petang tadi, tular pautan berita bertajuk ‘Sokong PM: Rosol akan keluar kenyataan esok’ menerusi aplikasi WhatsApp.
Ia seolah-olah menggambarkan Rosol adalah pemimpin pembangkang terbaharu yang akan mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri susulan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Terdahulu Syed Abu Hussin berkata tujuh atau lapan orang lagi ahli Parlimen PN bakal mengumumkan sokongan secara terbuka terhadap kepemimpinan Anwar.
Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, fitnah itu sengaja dibuat susulan tindakan beberapa ahli Parlimen PN mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri baru-baru ini.
Katanya, semua ahli Parlimen PN sudah menyatakan kesetiaan masing-masing dan akan terus menjunjung nilai kebersamaan dan kesepaduan dalam perjuangan Bersatu dan PN.
“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau melakukan tindakan tidak bertanggungjawab seperti penularan berita palsu ini,” katanya.
Oktober lalu, beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu turut menjelaskan bahawa tidak akan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
