Jangan heret anak muda bincang hal jumud

KUALA LUMPUR 10 Sept. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengajak rakyat menumpukan soal memajukan negara terutamanya menggunakan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan anak muda diberi kemahiran berkaitan teknologi baharu.

Justeru beliau yang menggariskan naratif baharu itu menyatakan rasa gusarnya terhadap tindakan sesetengah pihak yang sengaja memainkan isu perkauman dan agama sehingga mencetuskan perbalahan di negara ini.

Katanya, anak-anak muda tidak seharusnya diheret untuk membincangkan mengenai hal lapuk, jumud dan merosakkan kerana ia akan menimbulkan kebencian satu sama lain.

“Kadang-kadang saya agak resah dan (menentang) keras terhadap permainan sentimen kaum dan agama, gaduh (beza pendapat) tak habis-habis. (Contohnya) bincang mengenai (konsert) Coldplay berminggu-minggu, orang tu dah balik lama dan lupakan Malaysia, tetapi di sini tak habis lagi ulas mengenai bab itu.

“Kemudian bincang mengenai orang anti-Melayu dan Islam, padahal tumpuan kita adalah untuk baiki akhlak dan amalan serta bagaimana ekonomi negara, teknologi AI dan pelaburan yang masuk berjumlah ratusan bilion dan memerlukan jurutera dan AI di tahap tertinggi, ini yang kita perlu tumpukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, di sini hari ini.

Turut menjadi ahli panel ialah kedua-dua timbalannya, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Anwar berkata, sekiranya rakyat mahu darjat negara ini diangkat, mereka seharusnya tidak melayani isu yang tidak sepatutnya.

“Kalau nak darjat negara diangkat, jangan biarkan penghasut ini mendapat tempat, kenapa nak bahaskan soal bahasa? Bahasa Kebangsaan kita adalah Bahasa Malaysia, ia mesti dikuasai oleh semua. Tapi kita nak maju dan mahu anak muda ini diterima dalam syarikat antarabangsa yang terkenal, jadi biarlah mereka kuasai bahasa Inggeris dengan baik.

“Dia nak belajar bahasa Tamil atau Cina sebagai bahasa tambahan, bagi galakkan jangan halang. Sebab ini saya kata ini adalah naratif baharu untuk Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai isu AI yang akan mengurangkan tenaga kerja di negara ini, Anwar berkata isu mengambil alih pekerjaan bukannya baharu di Malaysia termasuk ketika negara ini memperkenalkan traktor dalam industri ladang dan sawah.

“Dulu kalau di Kedah di Seberang Prai, setiap tahun ribuan dari Kelantan dan Selatan Thai akan hijrah untuk bantu menampung pekerjaan membajak. Tapi dengan adanya traktor, jumlah itu jauh berkurangan.

“Untuk soal AI ini, yang kita perlukan adalah meningkatkan mutu latihan TVET, kejuruteraan dan latihan AI bagi memenuhi keperluan ini. Ya akan ada kesan, tetapi seluruh program pendidikan, itu harus dirombak supaya memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata tanpa sebarang prasangka, masyarakat harus menerima kenyataan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi kerajaan akan melindungi orang ramai tanpa mengira latar belakang agama mereka.

Katanya, sentimen yang mendakwa Kerajaan Perpaduan hanya eksklusif untuk Melayu dan Islam adalah tidak betul, sebaliknya Madani adalah konsep inklusif yang bertujuan melindungi setiap kaum di negara ini.

“Kalau kita baca, kita tahu ia tidak eksklusif sebaliknya inklusif. Malah mesej disampaikan dalam al-Quran adalah jelas membabitkan pelbagai kaum, wilayah bahasa untuk hormat, kenal kasih sayang antara satu sama lain.

Kita sebut wasatiyah, jangan terlalu terkait dengan pro atau anti… kita bersikap terbuka untuk belajar semua pengalaman. Mesej yang kita bawa ialah, marilah kita semua terbuka untuk belajar antara satu sama lain.

“Jangan ada syak wasangka dalam diri kita. Kita bukan anti-Cina atau India atau sesiapa kerana masing-masing ada agama sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment