Pendedahan Tajuddin melegakan – Anwar

PORT DICKSON 30 Jun – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, menyifatkan pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tajuddin Abdul Rahman, berhubung akuan bersumpah (SD) menyokong beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini sebagai melegakan.

Tegas Anwar, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu menjawab pelbagai ejekan dan momokan terhadapnya ketika menyatakan mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu melihat apa yang diperkatakan oleh Tajuddin sebagai amat menyenangkan.

“Dulu saya hanya menyebut mempunyai jumlah mencukupi dan meyakinkan, tetapi ramai yang memperolok. Saya tidak keluarkan kenyataan lebih daripada itu kerana ia membabitkan pihak istana.

Sekarang, entah bagaimana perkara mengenai SD ini boleh keluar. Alhamdulillah, ia terbongkar dengan sendirinya.

“Bukan dari saya, ia terbongkar dengan sendirinya. Ada pemimpin (UMNO) beri mesej, berharap usah dipanjangkan, saya jawab bukan saya panjangkan, bukan saya yang bongkar.

“Saya dihina sebegitu rupa, saya tidak jawab kerana bagi saya institusi istana dan raja bukan harus berlegar dalam ruang politik. Apabila dibongkar, tentu nama saya dikaitkan, jadi saya harus berikan penjelasan dan perkembangan ini (pendedahan Tajuddin) amat menyenangkan,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2021 Port Dickson dan penyerahan komputer riba serta Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Anak Negeri Sembilan B40 di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Tajuddin mendedahkan wujud SD dalam kalangan ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, walaupun mempunyai jumlah mencukupi menjadi Perdana Menteri ketika itu, beliau menolak selepas diminta untuk memastikan urusan mahkamah terutama perbicaraan membabitkan bekas Perdana Menteri,  Najib Razak, tidak diteruskan.

“Jumlah itu (SD) tidak semuanya dikirim melalui saya, ada yang terus ke istana. Ini termasuk yang disebut 15 orang daripada UMNO.

“Bagaimanapun, PH pada masa itu menyatakan walaupun jumlahnya menjangkau sehingga 120, prinsip kami adalah tidak menerima SD daripada Najib dan (Presiden UMNO)  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi kami masih ada 118, apa yang berlaku selepas ditandatangani dan sebagainya, saya diminta memberikan kepastian urusan mahkamah terutama membabitkan Najib tidak diteruskan.

“Saya tidak bersedia melakukannya walaupun jumlah itu cukup dan keperluan untuk saya jadi Perdana Menteri itu sudah kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal badan kehakiman,” katanya.

Anwar berkata, apa yang lebih penting baginya ialah tidak mengorbankan prinsip kebebasan badan kehakiman dan pendirian memerangi rasuah semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri.

Berikutan ketegasannya dalam keputusan berkenaan, katanya, UMNO mencalonkan nama lain sebagai Perdana Menteri pada saat akhir.

Anwar enggan menjawab persoalan itu sebelum ini kerana mahu memastikan hubungan dengan pihak istana kekal beradab dan demi memuliakan raja.

“Orang tanya mengapa tunggu bertahun dan tidak jawab. Ia kerana saya menganggap hubungan kita dengan istana itu harus dipertahan supaya kekal beradab dalam cara kita memuliakan institusi raja dan menghormati prinsip Perlembagaan.

“Kalau ditakdirkan jadi (Perdana Menteri), Alhamdulillah jadi. Kalau tidak pun, kita bersabar dan teruskan perjuangan,” katanya.

Anwar bagaimanapun menegaskan individu atau mereka yang membuat tohmahan itu melakukan kesalahan dan memfitnah.

Justeru, katanya, pendedahan Tajuddin itu dapat menjawab dakwaan kononnya PKR bersedia pada waktu itu untuk bekerjasama dengan kluster mahkamah supaya beliau menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang nyata, orang yang membuat tohmahan itu melakukan kesalahan dan fitnah dan mempermainkan, (saya) diperolok di media sosial dan ada yang anggap kami sanggup buat apa sahaja termasuk bekerjasama dan bersekongkol dengan kleptokrat, itu tidak benar.

“Itu tohmahan, tidak benar kerana mereka bukan hantar SD kepada saya sebaliknya terus kepada Yang di-Pertuan Agong, tidak melalui saya.

“Tentulah kami ada maklumat mengenai SD itu tetapi saya tegaskan pendirian PH iaitu tidak bekerjasama dengan Najib, itu jelas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment