Polis perlu sedikit masa cari dalang bunuh Zayn Rayyan

PETALING JAYA 8 Dis. – Pihak polis memerlukan sedikit masa untuk merungkai siapa dalang di sebalik pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor,  Hussein Omar Khan, berkata setakat ini polis mempunyai maklumat terhad untuk melakukan apa-apa tangkapan dalam masa terdekat ini.

“Bagaimanapun, kita boleh jamin pihak polis akan melakukan yang terbaik untuk mengesan mereka yang terlibat dan bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, pembunuhan Zayn Rayyan bukan kes yang ‘straight forward’ menyebabkan pihak polis perlu mengumpul lebih banyak maklumat dan bukti.

Katanya, siasatan polis dalam kes ini menjurus dua fasa,  pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.

Bagi fasa kedua pula, katanya siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih kurang 2,400 rumah.

“Kita sudah mulakan sejak semalam sehingga pagi tadi dalam tiga blok dan kita akan teruskan lagi pada malam ini dan hari seterusnya,” katanya

Beliau juga memaklumkan  polis sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat Zayn Rayyan ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan maklumat forensik.

“Kita harap keputusan akan diperoleh dalam dua tiga hari ini yang mana boleh membantu pihak polis untuk mendapatkan butiran yang boleh menjurus ke arah mereka yang terbabit (suspek).

“Ini bagi mendapatkan cap jari, DNA (asid deoksiribonukleik) dan kita juga akan mulakan satu proses ‘mass DNA screening’ (saringan DNA beramai-ramai) yang boleh membantu polis dalam mengesan mereka yang terlibat,” katanya.

Hussein turut mengingatkan ibu bapa bahawa mereka mempunyai tanggung jawab berat menjaga anak masing-masing, justeru tidak mengabaikan dan meninggalkan mereka berseorangan atau meletakkan mereka dalam situasi tidak selamat.

“Netizen juga diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat siasatan dan berkongsi perkara tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Ini termasuk perkara yang boleh menyinggung sensitiviti keluarga. Jangan mengeruhkan lagi keadaan, beri kepercayaan dan ruang kepada pihak polis untuk siasat sehingga tertangkapnya pihak yang terlibat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment