WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka konflik berterusan antara Israel dan Palestin di Gaza “sangat menekan” ekonomi Palestin.
Menurut Ketua Komunikasi IMF, Julie Kozack, konflik itu akan menjejaskan aktiviti ekonomi dengan teruk di Tebing Barat dan Gaza.
“Sebelum konflik pun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menurun dalam jangka sederhana,” katanya.
Beliau berkata walaupun ekonomi Tebing Barat, Gaza dan Israel akan menjadi yang paling teruk terjejas, “impak muktamad akan bergantung pada tempoh dan intensiti konflik.”
Minggu lalu IMF mengumumkan akan menyemak semula prospek ekonominya untuk negara-negara di Asia Barat dan Afrika Utara akibat konflik selain memberi amaran ia akan membawa akibat yang meluas untuk “rakyat dan ekonomi” di rantau berkenaan.
Tentera Israel meneruskan operasi di dalam Gaza dan berikrar memusnahkan Hamas susulan serangan rentas sempadan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober.
Menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas, angka kematian di Gaza kini meningkat melebihi 17,000.
