PBB jangka lintasan baharu dibuka ke Gaza

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan pembukaan lintasan Kerem Shalom dari Israel ke Gaza tidak lama lagi dalam usaha membawa masuk bantuan.

Bercakap pada sidang media, Ketua Kemanusiaan PBB Martin Griffiths, berkata rundingan sedang dilakukan dan beliau melihat ada tanda positif ke arah pembukaan lintasan itu.

Pusat pemeriksaan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza bertanggungjawab untuk kemasukan 60 peratus barangan ke wilayah yang dikepung sebelum bermulanya perang antara Israel dan Palestin.

Ketika ini hanya lintasan sempadan Rafah dengan Mesir dibuka.

“Kami berusaha untuk pembukaan Kerem Shalom dan bukan hanya sebagai pembukaan untuk membenarkan trak melalui Rafah dan kemudian ke Gaza, tetapi untuk terus melalui Kerem Shalom sehingga ke bahagian utara Gaza, atau di mana perlu.

Jika kita mendapat itu, ia adalah keajaiban pertama yang dapat kita lihat selepas beberapa minggu dan akan menjadi rangsangan besar kepada proses logistik… ia akan mengubah sifat akses kemanusiaan,” katanya.

Griffiths berkata terdapat juga perbincangan berlaku mengenai kemungkinan memacu bantuan ke Gaza dari Jordan, yang bersempadan dengan Israel dan Tebing Barat yang diduduki.

“Saya mempunyai wakil di Jordan, sudah pun menyusun potensi penghantaran bantuan melalui darat dari Jordan yang boleh datang terus dari Jordan melalui Jambatan Allenby, terus ke Kerem Shalom,” katanya.

Related posts

Leave a Comment