Kit Siang jumpa polis selepas pulang dari Scotland

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Veteran DAP, Lim Kit Siang mengesahkan akan memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu kenyataan dikeluarkannya di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.

Beliau dalam satu kenyataan bertarikh 5 Disember menyatakan akan berjumpa dengan polis selepas pulang dari Scotland dan susulan itu membuat beliau untuk membaca semula Rukun Negara dan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020.

“Polis sedang mencari saya atas kenyataan saya di Manchester kepada pelajar Malaysia pada Rabu lalu, yang mengatakan Perlembagaan Malaysia, pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk.

“Bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta dengan sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya serta bukannya membawa kepada suatu impian untuk mana-mana satu etnik saja,” katanya.

Kit Siang sebelum ini mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri dan berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun untuk melihat bukan Melayu berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Kit Siang dalam kenyataannya pada 5 Disember lalu turut menyenaraikan Rukun Negara dan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020.

“Sekiranya saya salah, maka Tun Razak juga salah pada tahun 1970 ketika merangka Rukun Negara, dan Tun Mahathir Mohamad juga salah pada tahun 1990 dalam merangka Wawasan 2020,” katanya.

(Foto FB Lim Kit Siang)

Related posts

Leave a Comment