Tiada tolak ansur soal rasuah

PUTRAJAYA 5 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah dengan akan tetap terus memperjuangkan aspek tatakelola yang baik.

Beliau menegaskan tidak akan berhenti mengulangi kepentingan tatakelola yang baik dan mengelakkan rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan.

Katanya, selepas mengambil alih pentadbiran pada 24 November tahun lalu, beliau sering mengulangi ketegasannya itu.

Dalam setahun, katanya, pentadbiran Kerajaan Perpaduan mencatat rekod tersendiri apabila tiada pemimpin yang dikesan mengaut kekayaan secara haram.

“Saya mengambil alih kuasa dengan satu mandat dan saya tidak akan bertolak ansur (terhadap rasuah) saya bersyukur setahun ini belum ada satu sanggahan (kes) terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram.

“Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya,” katanya dalam Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, yang disiarkan di malam tadi.

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar genap setahun penubuhannya pada 24 November lalu.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sebelum ini beliau melihat gejala rasuah sudah menjadi sistem sehingga pemimpin yang korup dipertahankan akibat terlalu taksub.

Beliau menegaskan, tidak mungkin sesuatu negara mampu berkembang jika kemasukan wang secara haram dan tindakan memberi kekayaan kepada keluarga dan kroni diteruskan.

“Umpamanya kalau saya ada kuasa, saya beri tanah kepada isteri saya dan kontrak berbillion ringgit kepada menantu, itu dimaafkan tidak jadi isu (tiada tindakan).

(Bagaimanapun) saya anggap itu aneh sebab tidak diasuh sebegitu sedangkan wang berbilion ringgit sepatutnya dipindahkan (diperuntukkan) kepada rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment