Siapa PM Israel ‘sama sahaja’

NETANYAHU atau Bennett ‘sama sahaja’. Begitu kesimpulan dalam kalangan pemimpin pertubuhan berkaitan Palestin berikutan penyingkiran Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri Israel dan digantikan oleh Neftali Bennett.

Mereka tidak mengharapkan sesuatu yang positif berhubung pertukaran tampuk kepemimpinan itu.

“Kami tidak mengharapkan perubahan dalam kerajaan penceroboh, kerana mereka bersatu dengan dasar membunuh dan merampas hak Palestin,” tulis jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri di Twitter.

Beliau mengaitkan kegagalan Netanyahu membentuk kerajaan yang dipimpin selama 12 tahun sebagai ‘kemenangan’ dalam pertempuran 11 hari antara Hamas dan Israel pada Mei.

Di bawah perjanjian gabungan baharu antara lapan parti Israel, Bennett akan menerajui pentadbiran Israel selama dua tahun diikuti parti Yair Lapid untuk tempoh dua tahun berikutnya.

Setiausaha Agung Pergerakan Inisisatif Kebangsaan Palestin Mustafa Barghouti, memberi amaran bahawa kerajaan Bennett akan menyokong penyelesaian pendudukan haram dan diskriminasi kaum serta dilihat bakal lebih ekstrem berbanding pemerintahan sebelum ini.

“Kerajaan baharu ini tiada bezanya dengan pemerintahan Netanyahu, kerana ia adalah kerajaan penjajah, penceroboh dan mengamalkan diskriminasi kaum seperti kerajaan sebelum ini dan bahkan lebih teruk,” kata Barghouti.

Ia dapat dibuktikan berdasarkan kenyataan Bennett pada Ahad mengenai perluasan kawasan penempatan ke kawasan C Tebing Barat.

Di bawah Perjanjian Oslo 1995 antara Israel dan pihak berkuasa Palestin, Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dibahagikan kepada tiga bahagian – Kawasan A, B, dan C – dengan kawasan C di bawah kawalan pentadbiran dan keselamatan Israel sehingga perjanjian akhir dengan Palestin dicapai.

Related posts

Leave a Comment