DAP sepatutnya nasihatkan UMNO, bukan Pas

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Penasihat DAP Lim Kit Siang sepatutnya menasihatkan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan iaitu UMNO menukar presiden parti itu terlebih dahulu berbanding ‘menyibuk’ urusan kepemimpinan Pas.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan berkata cadangan supaya kepemimpinan Pas ditukar susulan kemenangan  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya kecil (PRK) Kemaman jauh tersasar dan tidak ada merit.

Justeru, tiada sebab untuk menukar kepemimpinan parti sebagaimana dicadangkan Kit Siang semalam berikutan pencapaian Pas di bawah kepemimpinan Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu adalah yang terbaik berbanding tokoh lain sebelumnya.

Katanya, Pas mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah Kit Siang susulan kejayaan besar calon Pas-Perikatan Nasional (PN) mengalahkan calon Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dalam PRK Kemaman baru-baru ini.

“Sikap budiman sedemikian amat dialu-alukan dan boleh menyumbang kepada pemupukan budaya politik lebih matang dan sejahtera yang positif untuk negara.

“Ia sememangnya menjadi pegangan Pas sejak sekian lama. Namun persoalan yang cuba dibangkitkan oleh beliau terutamanya mengenai kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden Pas dan kemungkinan Ahmad Samsuri menggantikannya bagi membolehkan Pas “menjadi sebuah parti yang bersifat lebih moderat dan terbuka … dan menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah dan berita palsu” adalah tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Kit Siang dilaporkan berkata, kesediaan Abdul Hadi melepaskan jawatan sebagai Presiden Pas untuk memberi laluan kepada Ahmad Samsuri susulan kemenangan besarnya dalam PRK Kemaman sedang ditunggu-tunggu.

Katanya, jika Ahmad Samsuri mengambil alih Pas ia akan menjadi sebuah parti yang bersifat lebih moderat dan terbuka.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, ketika ini Pas bukan saja tidak mempunyai masalah dengan kepemimpinan Abdul Hadi, malah kedudukannya sebagai presiden parti tidak pernah dicabar, kecuali sekali.

Katanya, Abdul Hadi terus mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan Pas.

“Pencapaian Pas bawah kepemimpinan Tan Sri Abdul Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya.

“Pas kini menjadi parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri di Semenanjung,” tegasnya.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berkata, Kit Siang sepatutnya lebih bimbangkan kedudukan kepemimpinan UMNO yang turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang DAP sendiri tidak lama dulu.

“Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan, terus berdiam diri atau mendakwa tidak terbabit dengan perkembangan yang berlaku berkait keadaan dan persengkongkolan itu.

“Sebagai ahli politik veteran, tentulah Kit Siang tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, BN-PH kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang,” katanya.

Justeru, katanya adalah lebih bermanfaat jika Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya.

“Jangan terus bermain politik picisan, hipokrit, ‘hyperbole’ dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik,” katanya.

Pada masa yang sama, Takiyuddin berkata, Kit Siang bukanlah orang paling layak untuk bercakap mengenai kesederhanaan dan sikap terbuka jika melihat kepada sejarah perjalanan politiknya.

“Ini dapat dilihat sejarah beliau sebagai seorang ahli politik, mahupun pada kedudukan semasanya kini sebagai penasihat sebuah parti yang masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme.

“Pas percaya, jika Kit Siang berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepemimpinan parti-parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya UMNO yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment