Kemenangan ‘buka pintu’ ke Putrajaya

KEMAMAN 2 Dis. – Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kemenangan dengan majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman hari ini sebagai ‘game changer’ serta pembuka ‘pintu’ kepada Perikatan Nasional (PN) menuju Putrajaya.

“Terima kasih semua. Apa yang kita hadapi hari ini di Parlimen Kemaman, dengan majoriti tinggi hasil kerja kuat semua akan menjadi ‘game changer’ dan akan ‘buka pintu’ untuk kita menuju Putrajaya,” kata calon Pas itu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian melalui ucapan sulungnya selepas diumumkan sebagai pemenang pada PRK Kemaman di hadapan ribuan penyokong Pas dan PN yang berhimpun di Arena Square Kemaman, di sini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menang dengan majoriti 37,220 undi hasil kiraan daripada 249 keseluruhan peti undi bagi PRK itu.

Beliau mendapat 64,998 undi, manakala lawannya dari Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mendapat 25,023 undi.

Majoriti diperoleh calon Pas kali ini jauh lebih tinggi berbanding penyandang sebelum ini, Che Alias Hamid yang memperoleh majoriti 27,179 undi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus lumus sehingga membawa kepada kemenangan Pas dalam PRK Kemaman hari ini.

“Kepada semua yang berada di hadapan saya, kepada pengundi Parlimen Kemaman, penduduk dalam daerah Kemaman, semua petugas dan jentera daripada Kemaman dan kepada DUN di Terengganu, terima kasih saya ucapkan.

“Terima kasih kepada semua yang datang dari negeri di seluruh Malaysia yang turut sama hadir ke Parlimen Kemaman, untuk bersama terbabit dalam aktiviti proses demokrasi pilihan raya.

“Sekali lagi, dari sudut hati saya, terima kasih dan saya akan ingat perjalanan ini sampai bila-bila,” katanya.

Related posts

Leave a Comment