Najib mohon buat PhD dalam penjara

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Peguam, Muhammad Shafee Abdullah menafikan dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Najib Razak tidak menjalani hukuman dalam penjara.

Katanya, Najib sebenarnya ditempatkan di sel penjara yang lebih selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Dia dalam penjara. Penjara yang biasa. Tetapi atas isu keselamatan, dia diasingkan. Sebab kalau dia bersama-sama dengan orang lain, apa saja boleh berlaku bukan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam rakaman program bual bicara Podcast Keluar Sekejap yang disiarkan menerusi Youtube pagi ini dan dihoskan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.

Muhammad Shafee juga memaklumkan hampir setiap minggu beliau melawat Najib dan kadangkala dua minggu sekali.

“Dalam mahkamah memang kita ada bertemu. Kadangkala saya juga cuba duduk bersama untuk makan tengah hari dengan dia supaya boleh bersembang.

Dia sekarang sedang membuat permohonan untuk buat PhD. Saya fikir dia sudah pun mula melakukan beberapa penulisan berkenaan PhD. Saya gembira fikirannya tidak terbiar,” katanya.

Ditanya Khairy bagaimana Najib memperoleh sumber bacaan untuk membantu urusan pengajian, Muhammad Shafee berkata ia dikirimkan sendiri oleh pembantunya dan perlu melalui tapisan pegawai penjara terlebih dahulu.

“Saya rasa bahan (bacaan) itu daripada pembantunya yang boleh melawatnya dan bawa buku untuk dia baca. Kena ada tapisan (untuk bawa masuk buku dalam penjara),” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Najib, 70, gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International dan kini sedang menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Related posts

Leave a Comment