SPF beku lebih 16,700 akaun bank

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) membekukan lebih 16,700 akaun bank yang disyaki terbabit dalam penipuan sepanjang tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, K Shanmugam.

Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Parlimen, Shanmugam, berkata pembekuan itu adalah di bawah Perintah Anti Penipuan.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang, berkata SPF hanya membekukan akaun bank apabila wujud sesuatu yang meragukan dan mengesyaki mereka terbabit dalam aktiviti jenayah.

Bagaimanapun SPF tidak menjejaki sama ada akaun ini milik warga Singapura atau warga asing kerana jumlah akaun bank yang dibekukan adalah disyaki terbabit dalam jenayah selain penipuan atau jumlah individu yang akaunnya dibekukan kerana dihalang daripada membuka akaun lain.

Katanya, sejak 2022, ramai rakyat Singapura yang mempunyai akaun bank sedia ada dibekukan atas alasan penguatkuasaan undang-undang.

Shanmugam berkata, bagi individu yang akaun banknya dibekukan, bank mungkin memutuskan untuk menawarkan akaun baharu, tetapi ia mungkin datang dengan akses terhad kepada kemudahan tertentu, atau tertakluk kepada langkah pemantauan yang dipertingkatkan.

“Akaun terhad itu masih akan memenuhi keperluan asas perbankan individu, termasuk menerima gaji dan sokongan kerajaan,” katanya.

Shanmugam berkata, bank mungkin menolak untuk menawarkan akaun baharu jika individu terbabit dianggap berisiko tinggi, contohnya, mereka yang melakukan jenayah berat seperti terbabit dalam pembiayaan keganasan.

Related posts

Leave a Comment