Tiada kejutan Bukit Gantang lompat sokongan

 

Ini bukan kali pertama susuk tubuh bernama Syed Abu Hussin Hafiz beralih sokongan dalam kerjayanya sebagai Ahli Parlimen. Selak kembali selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Pada 9 Mei 2018, beliau mengisytiharkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN),”

 

BUKANLAH satu kejutan apabila Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengumumkan sokongannya secara terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Mungkin satu kejutan apabila soalan tambahan seperti ‘ucapan dasar Presiden’ dengan mukadimahnya panjang sebelum soalan dikemukakan.

Kejutan juga apabila beliau ‘berani’ mengisytiharkan lompat sokongan di hadapan PMX dan rakan-rakannya dalam Pas dan Bersatu, tidak seperti empat yang lain melalui kenyataan media atau sidang media.

Kawan saya secara berseloroh berkata, mengikut sukatan beras “empat cupak” kini dah jadi segantang. Boleh jadi seguni ka?

Tanda-tanda awal beralih sokongan sudah ditunjukkan apabila Syed Abu Hussin Hafiz pada 9 November lalu menyatakan kesediaan memberi sokongan kepada Kerajaan Madani jika peruntukan RM30 juta di bawah Belanjawan 2024 kepada kawasan Parlimennya diluluskan.

Perkara itu dinyatakan Syed Abu Hussin Hafiz ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, permohonan peruntukan itu, antara lain bagi kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

“Dalam Dewan yang mulia ini, saya mohon jika saya mendapat peruntukan ini untuk dibangunkan kawasan saya, saya akan beri sokongan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid) dan Kerajaan Madani,” katanya.

Tidak pasti sama ada peruntukan itu sudah diperoleh tetapi melihat lenggok bahasanya hari ini, ketika memulakan soalan tambahan yang lebih berbentuk ucapan, maka ada sesuatu yang terbuku di hati ingin diluahkan beliau.

Sebelum itu untuk rekod, ini bukan kali pertama susuk tubuh bernama Syed Abu Hussin Hafiz beralih sokongan dalam kerjayanya sebagai Ahli Parlimen. Selak kembali apa berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Pada 9 Mei 2018, beliau mengisytiharkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan alasan tiada kestabilan dan kawalan dalam UMNO selepas bekerja keras merampas semula kerusi Bukit Gantang yang selama dua penggal dikuasai Pas.

Ketika itu, Syed Abu Hussin Hafiz memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 4,089 undi selepas menewaskan calon Pas dan PPBM (Bersatu).

Hari ini sejarah berulang walaupun tidak lagi boleh melompat parti atau mengisytiharkan keluar parti. Sebaliknya melompat sokongan kerana bertindak keluar parti hanya menyebabkan seseorang hilang kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

Sebaik diberi peluang bertanya soalan tambahan kepada soalan asalnya, ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Syed Abu Hussin Hafiz mengambil masa yang lama untuk berucap sebelum mengemukakan soalan tambahan.

Sehinggakan ada ketikanya Speaker, Johari Abdul menegurnya supaya tidak berucap sebaliknya kemukakan soalan malahan ada pula wakil rakyat lain mencelah dengan berkata “ucapan dasar Presiden…”.

Terdahulu beliau bertanya Perdana Menteri mengenai maksud dan harapan kerajaan apabila melaksanakan konsep Kerajaan Madani dalam menggalakkan perpaduan dalam kalangan Ahli Parlimen bagi membangunkan negara secara bersama.

Beliau turut bertanyakan harapan Perdana Menteri kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Ketika diberi peluang untuk bertanya soalan tambahan selepas Anwar menjawab soalan asal, beliau bangun dengan berkata: “Jawapan yang saya kira sangat bagus dan berjiwa besar. Jawapan dari susuk tubuh yang telah melalui liku-liku derita dan penderitaan yang amat panjang hampir 24 tahun .

Mana mungkin jawapan ini boleh dicetuskan jika tiada keikhlasan yang menebal, mahu melihat …,” sambil meminta masa tambahan manakala Speaker pula meminta beliau tidak berucap.

“Kita ahli-ahli Parlimen menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan .. sudah-sudahlah kita orang politik bersengketa, carik-carik bulu ayam, lama lama bercantum jua.

“Komitmen PMX terhadap perlunya perpaduan ini bukannya baru, sejak kempen Pilihan Raya Umum ke enam pada 1982 ketika PMX bertanding calon BN di Permatang Pauh saya turut berkempen.

“Sebenarnya ancaman kepada negara ialah bukan ancaman penjajah luar atau ancaman komunis. Tetapi ancaman kepada perpaduan dalam negara. Orang Melayu terus berpecah sehingga tidak ada satu pun parti Melayu kuat (dan) cukup bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, setelah UMNO diharamkan pada 1987, orang Melayu bangkit semula dengan pengisian dalam gagasan Wawasan 2020 di bawah kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

“Soalannya dalam keadaan politik negara tidak stabil ini, bagaimanakah kerajaan hendak menguruskan ekonomi, harga barang terus naik, kos sara hidup makin tinggi..”

“Oleh itu, demi negara tercinta, saya meminta Tambun (Anwar), Pagoh (Muhyiddin) dan Bera (Ismail Sabri), buang yang keruh ambil yang jernih.

“Marilah Pagoh dan Bera sebagai bekas Perdana Menteri bersama-sama membantu Tambun membina masyarakat Madani.

“Kepada ahli parlimen pembangkang pula, marilah kita berunding sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan sebagaimana persefahaman semasa Bera jadi perdana menteri.

“Tan Sri Speaker , soalan saya adakah YAB PMX bersedia untuk menyambut kesediaan ahli ahli Parlimen yang mempunyai pengalaman , kepakaran, kebolehan, keupayaan untuk membantu membangun rakyat dan ekonomi negara

“Saya sendiri bersedia untuk memberi dan membantu kerajaan mewujudkan masyarakat Madani menangani kenaikan harga barang dan kos sara hidup dengan mengambil ibrah Nabi Yusuf AS.

“Dengan ini, Bukit Gantang mengisytiharkan menyokong Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri ke-10 dan gagasan kerajaan Madani,” katanya.

Begitulah berakhirnya sokongan seorang lagi wakil rakyat Bersatu kepada gabungan pembangkang di bawah PN yang diterajui Muhyiddin selepas hilang sokongan Kuala Kangsar, Labuan, Jeli dan Gua Musang.

Amat malang bagi Bersatu kerana malam tadi Muhyiddin melalui ‘fatwanya’ semasa kempen PRK Kemaman mengajak ahli UMNO meninggalkan parti itu kerana dakwanya UMNO sudah ‘hancur’ akibat perbuatan Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“(Saya menyeru) Kawan-kawan lama saya, orang UMNO lupakanlah UMNO. Apa hukumnya? Harus, mungkin juga sunat agaknya,” katanya.

Siapa pula selepas Bukit Gantang?

Related posts

Leave a Comment