RUU GEG: Khairy kecewa, hari menyedihkan

KUALA LUMPUR 28;Nov. –  Hari yang sangat menyedihkan. Itu reaksi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, susulan kegagalan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) di Dewan Rakyat, hari ini,

Khairy, yang sebelum ini berusaha mencari jalan bagi mengawal penjualan tembakau dan vape berkata, beliau menggubal  (RUU) GEG demi kesihatan awam.

Menerusi entri di Instagramnya hari ini, Khairy mendakwa ia berpunca akibat tindakan industri tembakau dan vape melobi Peguam Negara, menggunakan hujah RUU GEG bertentangan dengan Perlembagaan.

“Hari ini adalah hari yang sangat menyedihkan. Saya gubal (RUU) GEG demi kesihatan awam dan bentang di Parlimen, sebelum ini. RUU ini mengandungi langkah pengawalan bagi penjualan vape dan GEG serta mendapat sokongan komuniti kesihatan awam.

“Mereka (komuniti kesihatan awam) mahu vape diharamkan, namun kita berjaya mencari jalan tengah dengan memasukkan peruntukan mengenai GEG. Kini ia digugurkan (di Dewan Rakyat).

Kita terlepas peluang untuk meluluskan undang-undang yang penting untuk kesihatan awam, walaupun penjualan vape akan dikawal,” katanya.

Terdahulu, peruntukan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada RUU GEG yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan RUU GEG sebelum ini dan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 12 Jun lalu, terdapat empat peruntukan berkaitan larangan dikenakan terhadap individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Ia merangkumi Perkara 13, 14, 18 dan 19, iaitu larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi orang yang lahir 1 Januari 2007 serta seterusnya.

Di bawah RUU baharu dibentangkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini, di bawah Perkara 17 (1) larangan merokok dan menggunakan produk tembakau dikenakan kepada orang belum dewasa iaitu di bawah usia 18 tahun.

Pada 18 November lalu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dipetik berkata peruntukan di bawah RUU itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan memandangkan ia mewujudkan layanan undang-undang tidak sama rata antara seseorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 dan individu dilahirkan pada dan selepas tarikh sama.

Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau sudah menafikan hujah RUU GEG bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, seperti dikemukakan Jemaah Menteri, sebelum ini.

“Tidak pernah terfikir RUU GEG akan digugurkan kerana alasan pincang terhadap hujah undang-undang yang dikemukakan Peguam Negara.

“Ramai peguam ketawa dengan kenyataan bodoh itu. Tidak, GEG digugurkan kerana tindakan industri tembakau melobi bagi tujuan demikian. Ini belum berakhir. Suatu hari nanti, kesihatan awam akan menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment