Perbezaan politik tidak tindas pembangkang – PM

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak menjadikan perbezaan politik untuk menindas pemimpin parti pembangkang, malah mereka dijemput dalam lawatan kerja dengan kerajaan luar.

Beliau  yang merujuk lawatannya ke Sadao Thailand semalam berkata, perkara seumpama itu tidak pernah dilakukan ketika pembangkang (PN) menjadi kerajaan.

Pada lawatan itu yang disambut rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin, Perdana Menteri turut mengundang Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

“Saya marah (kepada pembangkang) pun saya ikut peraturan, saya ke Kedah (semalam) untuk berunding berkaitan hal sempadan, Sadao dengan Bukit Kayu Hitam, memang tidak diundang Menteri Besar Kedah dan Menteri Besar Perlis. Namun, saya putuskan untuk undang.

“Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin tidak mengundang mereka untuk makan tengah hari di Sadao, saya yang beri nota kepada PM (Thailand) oleh kerana mereka ikut rombongan supaya ikut sama dalam jawatankuasa itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PN Kota Bharu) pada sesi Waktu Pertanyaaan Perdana Menteri (PMQT) hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, sepatutnya pihak pembangkang mempunyai semangat yang sama dan tidak terus menyebarkan cacian bertujuan memburukkan kerajaan.

“Seperti semalam dalam rundingan dengan Perdana Menteri Thailand jarang kita bawa pembangkang.

“Semasa Kota Bharu (Takiyuddin Hassan) jadi menteri dalam mesyuarat dengan kerajaan luar, tak pernah wakil pembangkang dibawa bersama, saya bawa wakil (pembangkang),” katanya.

Menjawab soalan tambahan  Shahidan Kassim (PN-Arau), berhubung peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, Perdana Menteri menegaskan, tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Anwar berkata, beliau mahu peraturan dihormati iaitu Ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri,  Fadillah Yusof terlebih dahulu berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi.

“… runding dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong Perdana Menteri… tak perlu ada syarat menyokong Perdana Menteri.

Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan dalam mesyuarat yang lalu (ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang).

“Saya (kadang-kadang) aneh, wakil (kerajaan terdahulu) yang berundingan dulu kini di sebelah sana (pembangkang)… dia tahu prosesnya berapa kali berunding, tapi sekarang macam tak tahu langsung,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sehingga kini belum ada rundingan secara rasmi berhubung peruntukan itu dilakukan oleh blok pembangkang.

“Justeru, YB Arau, soal peruntukan tak usah dipanjangkan… runding dengan baik dan selesaikan, tiada syarat ketat. Saya dengar kempen-kempen (pembangkang) maki hamun saya, (tuduh) Perdana Menteri tak guna, minta sokong baru beri peruntukan… saya tak pernah sebut begitu,” kata beliau.

Anwar menyifatkan tidak munasabah jika pembangkang enggan mengadakan rundingan sedangkan mereka sendiri mahukan adanya semangat kerajaan-pembangkang yang demokrasi.

 

Related posts

Leave a Comment