SPRM beku 41 akaun Aman Palestin

PUTRAJAYA 23 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun Aman Palestin Bhd (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00, semalam.

Dalam kenyataannya, SPRM memaklumkan pembekuan itu berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan  RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini, SPRM membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),.

Media sebelum ini melaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas Aman Palestin berhubung aktiviti pengumpulan derma untuk rakyat Palestin susulan tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menarik balik kebenaran untuk syarikat itu membuat kutipan bagi tujuan berkenaan.

Ia apabila ada aduan beberapa pihak yang meminta Aman Palestin disiasat berkaitan wang dipungut dan dikumpulkan selama ini.

Related posts

Leave a Comment