Pelan Advokasi Gula jadikan negara ‘kurang manis’

KUALA LUMPUR 23 Nov. –  Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Pelan Advokasi Gula dalam tempoh terdekat bagi meningkatkan kesedaran awam susulan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), terutama kencing manis.

Menteri Kesihatan , Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif itu menyasarkan semua peringkat usia dan membabitkan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Pelan ini meliputi semua peringkat umur dan kita mulakan di peringkat kanak-kanak lagi di pra sekolah, sekolah rendah serta universiti awam (UA) dan swasta. Malah, ia turut membabitkan golongan dewasa dan warga emas.

Turut dibabitkan NGO, persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Parlimen. Jadi saya mohon semua Ahli Parlimen untuk sama-sama jadikan negara kita ‘kurang manis’,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu apakah yang sedang dilaksanakan KKM dalam usaha menangani penyakit kencing manis memandangkan prevalens diabetes negara adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Dr Zaliha berkata, KKM kini berada dalam fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat secara menyeluruh.

“Contohnya, (kita berbincang dengan) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya untuk menyediakan pilihan minuman tanpa gula dengan slogan satu sudu teh sudah cukup, kurang lebih baik, tiada (gula) terbaik.

“Ini (inisiatif) yang sangat bagus kerana ada kedai yang kita lihat buka sampai malam, jadi bila dilaksanakan nanti, Insya-Allah ia boleh bantu dari segi advokasi bagi mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti negara ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment