Jawatankuasa khas angkat martabat Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR 21 Nov. –  Sebuah jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja ditubuhkan dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Katanya, Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.

Menurut Perdana Menteri, individu yang menganggotai jawatankuasa khas ini sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja di mana mereka akan dan mesti berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri sebelum apa-apa perkara dimuktamadkan.

“Ada kaedah perlu dibincangkan kerana ada negeri agak keras, kurang setuju kalau kita langgar prinsip-prinsip yang disebutkan, namun apa sahaja cadangan jawatankuasa ini nanti, haruslah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja,” kata beliau pada Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) berhubung pendirian kerajaan terhadap notis petisyen difailkan dua wanita yang dilihat mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 serta usaha kerajaan bagi memastikan undang-undang berkaitan Syariah terus terpelihara.

Anwar berkata sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung prosiding mencabar perlembagaan oleh dua wanita beragama Islam itu tidak akan menghalang usaha kerajaan untuk terus memperkasa Mahkamah Syariah melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Sebab itu kita ada jawatankuasa khas ini, untuk usaha selaraskan pelaksanaan undang-undang, bayangkan kalau negeri diberi ruang sewenang-wenangnya (menggubal undang-undang), semua negeri buat dan atas itu juga nanti semua negeri ada percanggahan,” kata beliau.

Anwar berkata menerusi jawatankuasa khas itu, sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang dikemukakan akan dimohon untuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen.

Perdana Menteri berkata rakyat harus diberi kefahaman yang betul mengenai kes itu kerana ia bukan berkaitan mencabar undang-undang Syariah, sebaliknya mencabar pertimbangan melibatkan kuasa negeri dalam Perlembagaan.

“Ada persepsi sebahagian umat Islam ini (petisyen oleh dua wanita) mencabar Syariah, kerana orang politik tunggang agama main isu ini, pada hal isunya bidang kuasa di mana-mana negeri boleh buat undang-undang.

Jangan guna ruang ini untuk panaskan suhu politk dan sebar kebencian kononnya Perdana Menteri tidak peduli hal Syariah Islam.

Dalam pada itu Anwar mendakwa kerajaan terdahulu, Perikatan Nasional tidak mengambil tindakan berkaitan kes yang mencabar enakmen syariah dan menunggang isu tersebut demi keuntungan politik.

“Kes di Selangor pada tahun 2021 dan diikuti di Kelantan. Kita tak dengar jawatankuasa ditubuhkan. Menteri undang-undang dulu tak buat apa. Di mana yang kita tentang?

“Kes dibawa pada 25 Mei tahun lalu (Iki Putra dan kes Nik Elina Zurina). Siapa perdana menteri (ketika itu)? Doa saja berjela. Pasal apa menteri tak jalankan tugas? Mahkamah benarkan prosiding dalam bulan September tahun lalu tapi menteri tak tahu ada kes syariah, “ katanya.

Related posts

Leave a Comment