Persiapan rosak akibat ribut tidak jejas sambutan

IPOH 31 Ogos –  Walaupun pelbagai persiapan mengalami kerosakan serius akibat kejadian ribut petang semalam, sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini tetap berlangsung dengan meriah..

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat menghadiri majlis sambutan itu kira-kira pukul 8.22 pagi.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar  Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro, Taiping sambil diiringi pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia.

Majlis sambutan bermula dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan doa oleh Imam Besar Masjid Negeri Abd Farid Salleh, diikuti nyanyian lagu ‘Negaraku’ dan ikrar Hari Kebangsaan.

Ia kemudian diserikan dengan persembahan koir gabungan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent dengan lagu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, ‘Tanggal 31’, serta ‘Jalur Gemilang’.

Selain itu, persembahan muzikal bertajuk ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ yang dipersembahkan 66 peserta juga mencuri perhatian yang hadir.

Sebanyak 91 kontinjen melibatkan 4,855 peserta mengambil bahagian termasuk wakil jabatan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Kemeriahan sambutan juga diserikan dengan perarakan yang disertai 14 pasukan pancaragam sekolah dan lapan kontinjen kenderaan daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO dan swasta.

Kira-kira 25,000 orang dari dalam dan luar negeri yang terdiri daripada berbilang kaum hadir memeriahkan majlis sambutan seawal pukul 6 pagi.

Selesai majlis sambutan, Sultan Nazrin serta tetamu kenamaan lain menghadiri majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah di dalam Stadium Indera Mulia.

Dalam kejadian semalam khemah utama, khemah tetamu serta beberapa persiapan lain terjejas tetapi kerosakan itu diperbaiki malam tadi.

Related posts

Leave a Comment