KUALA LUMPUR: Tidak senang dengan perkataan ‘peel’ yang ditujukan kepada pembangkang yang tidak hadir pada Sidang Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab pagi ini, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) memberi amaran kepada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) supaya menarik balik perkataan itu.
Shahidan memberi amaran itu sebelum memulakan perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan yang menyifatkan istilah itu sebagai keterlaluan.
“Ada orang komen (mengenai ahli Parlimen pembangkang) tak hadir. Dia sebut satu perkataan iaitu inilah ‘peel’ pembangkang.
“Saya beri amaran kepada orang yang berkenaan, kalau dia tak tarik (perkataan itu), saya akan rujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah 36 (12),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Shahidan turut mempersoalkan dakwaan yang mengaitkan ahli Parlimen pembangkang ponteng, sedangkan mereka kerap hadir dan menunggu sehingga sesi Parlimen berakhir.
“Saya nak beritahu, boleh kata tiap hari kami tunggu di Parlimen ini sampai petang untuk cukupkan korum. Jika tak, memang tak cukup korum. Tapi kami tidaklah pula berkata, inilah ‘peel’ kerajaan.
“Ini baru dua tiga hari masuk Parlimen, cakap dah berlagak,” katanya yang merujuk kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh itu yang memenangi kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pagi tadi, Mohd Isam menyelar sikap pembangkang kerana gagal hadir pada sesi soal jawab lisan.
Beliau mencelah selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, membangkitkan mengenai isu terbabit dan menyifatkannya sebagai ‘peel’ pembangkang.
“Bukan ramai tidak hadir Speaker, seorang pembangkang pun tidak ada hari ini. Inilah ‘peel’ (perangai) pembangkang,” katanya disambut sorakan dari blok kerajaan.
Terdahulu anggota Parlimen PN termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya yang dihadiri pemimpin NGO, politik serta orang perseorangan.