SPRM digesa siasat unsur rasuah kerajaan

KOTA BHARU  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat kepemimpinan Kerajaan Perpaduan yang disifatkan mempunyai unsur rasuah apabila Ahli Parlimen mendapat peruntukan selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbuatan yang dilakukan Kerajaan Pusat itu begitu jelas terdapat unsur rasuah.

“SPRM sepatutnya sudah tahu mengenai perkara ini dan perlu menyiasat tanpa kita (Pas) membuat laporan terhadap agensi berkenaan. Ini tanggungjawab SPRM untuk bertindak dan menyiasat.

“Tidak sepatutnya Kerajaan Pusat menggunakan peruntukan sebagai tekanan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Bagi kami mereka (kerajaan) menekan Ahli Parlimen dengan peruntukan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Saya fikir kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang sama rata kepada Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Himpunan Munajat Pertahan Enakmen Syariah dan Solidariti Untuk Palestin Peringkat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kecik dari Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM300,000 selepas genap seminggu mengumumkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim menegaskan keempat-empat Ahli Parlimen dari BERSATU yang menyokong kepimpinan Anwar itu masih Ahli Parlimen PN.

“Mereka masih kekal dengan PN walaupun menyokong Anwar. Pada masa sama kita juga percaya Ahli Parlimen Pas tetap istiqamah dengan parti dan akur dengan keputusan yang dibuat parti,” katanya

Ditanya sama ada Pas dan Bersatu ada mengadakan perbincangan susulan empat Ahli Parlimen berkenaan menyatakan sokongan terhadap Anwar, Tuan Ibrahim menjelaskan tiada perbincangan khusus dibuat.

Related posts

Leave a Comment