Stok BPS langkah jangka panjang hadapi manipulasi pengeluar

KUALA LUMPUR 16 Nov. – Bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan, kerajaan akan mewujudkan stok Benih Padi Sah (BPS) sebagai langkah jangka panjang serta menangani manipulasi pihak pengeluar.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata jika berlaku sesuatu berhubung permintaan BPS, stok boleh digunakan seperti beras yang mempunyai bekalan sehingga lima bulan,

Sekarang kita bertindak dengan menggunakan apa saja cara, termasuk secara ‘fast track’ untuk penyediaan benih padi ini, sampai ke peringkat ia mencukupi sehingga tarikh akhir musim penanaman ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai aspek pematuhan dan penguatkuasaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) bagi membendung aktiviti manipulasi harga BPS.

Menjawab soalan asal Dr Ahmad Fakhruddin, beliau memberitahu sebanyak 50,000 kampit BPS akan diluluskan esok dengan 31,000 diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 19,000 lagi disalurkan ke Perlis dan luar jelapang Kedah.

Mohamad, berkata perkara itu antara langkah drastik jangka pendek dilaksanakan kementerian bagi memastikan bekalan BPS mencukupi dan harganya terkawal.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebelum ini meluluskan 532,325 kampit BPS bagi kegunaan di Kedah dan Perlis dengan rekod pengeluaran 89,723 kampit benih pada 18 Oktober lalu, 151,200 kampit benih (26 Oktober), 79,142 kampit benih (3 November) dan 112,260 kampit benih (10 November).

“Selain itu, kementerian turut memantau dan mengawal ketat proses kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar BPS berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan jabatan dan agensi sebelum BPS dijual kepada pesawah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, keperluan BPS semasa ialah 72,000 tan atau 3.6 juta kampit setahun dengan pesawah menikmati insentif RM1.03 bagi setiap kilogram BPS dibeli daripada pengeluar yang dilantik kerajaan.

Bagi langkah jangka panjang, katanya, kerajaan akan melaksanakan kajian bagi menangani harga belian dan benih padi untuk memastikan semua pihak termasuk peruncit dan pengguna berada dalam situasi menang-menang.

Beliau berkata KPKM akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam masa terdekat bagi menentukan aspek penyelarasan harga.

Related posts

Leave a Comment